Winners

Mr Mohamad Kamel Hafiz Bin Salim

From SK Tanah Liat

Mr Mohamad Kamel Hafiz Bin Salim's photo

Nominated by Muhammad Afif Fikri Bin Adam

Cikgu Kamel merupakan seorang guru muda yang serba berkebolehan, seorang yang tidak mudah berputus asa dan merupakan antara guru yang terbaik pernah saya temui. Meskipun baru berkhidmat selama 3 tahun, kejayaan dan sumbangan yang beliau lakukan kepada anak-anak murid dan sekolah sangat luar biasa. Di sekolah, beliau menjawat jawatan penting seperti Penyelaras Disiplin, Penyelaras Unit Beruniform, Ketua Panitia, Setiausaha Koperasi dan sebagainya. Beliau juga antara pengasas koperasi sekolah yang berdaftar dengan Suruhanjaya Koperasi Malaysia. Dalam bidang akademik, beliau pernah menjadi Jurulatih Utama CEFR Daerah Seberang Perai Tengah pada tahun 2017 & 2018. Beliau juga merupakan penulis bersama Modul PDCA Bahasa Inggeris Tahun 6 UPSR bagi negeri Pulau Pinang pada tahun 2018. Dalam bidang kokurikulum, beliau merupakan Jurulatih Scrabble sekolah dan juga Jurulatih Pasukan Ragbi sekolah. Antara kejayaan dalam bidang kokurikulum ialah menjadi Naib Johan Cup Ragbi MSSPP Pulau Pinang(2019), Johan Bowl Ragbi U11 Pembangunan MSSPP Pulau Pinang(2019), Johan Plate Super 8 U11 MSSPP Pulau Pinang(2019) dan Naib Johan Plate Ragbi MSSPP Pulau Pinang(2020). Beliau merupakan seorang guru yang sangat aktif dan rajin. Beliau sendiri pernah menjadi Johan dalam Acara Jalan Ria 4 Kilometer dalam PESSCA 2019 iaitu kejohanan antara guru bagi Daerah Seberang Perai Tengah, Pulau Pinang. Pada tahun 2019, beliau dianugerahkan Anugerah Guru Cemerlang dalam bidang kokurikulum oleh pihak sekolah. Namun, tidak semuanya indah belaka bagi Cikgu Kamel. Pada Ogos 2019 tahun lepas, beliau telah disahkan menghidap General Anxiety Disorder oleh doktor psikiatri yang memerlukan beliau untuk mengambil ubat dan menghadiri temujanji secara berkala di hospital untuk penyakitnya itu. Berat badan beliau naik secara mendadak kesan daripada penyakitnya itu. Beliau menghadapi kesukaran untuk menguruskan kehidupan seharian. Atas semangat juang yang tinggi dan enggan mengalah, guru muda ini bangkit semula. Beliau ingin sihat semula. Beliau ingin normal kembali. Beliau ingin menunaikan tanggungjawabnya sebagai seorang suami, ayah dan guru seperti orang lain. Dan kali ini, kebangkitannya sangat luar biasa. Pada awal Januari 2020, beliau telah menawarkan diri untuk menjadi Jurulatih Merentas Desa sekolah. Beliau tidak mahu terlalu manja melayan sakitnya itu. Beliau mahu mencari jalan untuk membebaskan mindanya. Untuk itu, beliau datang ke sekolah seawal jam 6.45 pagi dan memulakan latihan dengan pelajar tepat jam 7 pagi sehingga 7.40 pagi. Latihan diadakan pada waktu pagi sebelum bermulanya sesi persekolahan kerana beliau tidak mahu menggangu sesi pembelajaran para atletnya. Seperti yang saya katakan, Cikgu Kamel merupakan guru yang sangat berdedikasi. Pernah pada satu pagi, seorang pelajar telah tercabut kedua-dua belah tapak kasutnya ketika sedang menjalani latihan merentas desa. Atas dasar kasihan dan risau akan pelajarnya yang berlari di atas trek yang penuh batu kerikil tajam, beliau berhajat supaya pelajarnya mempunyai kasut baharu untuk latihan yang lebih selesa dan sempurna. Beliau tahu bahawa jika beliau menyuruh anak muridnya itu untuk membeli sepasang kasut baharu, pastinya mereka tidak mampu. Tetapi pada masa yang sama beliau juga melihat potensi yang ada pada dua orang anak muridnya itu. Maka, tanpa berfikir panjang, Cikgu Kamel telah nekad untuk menjual sepasang kasut baharu miliknya sendiri di Facebook. Wang yang diperoleh daripada hasil jualan kasutnya itu, akan digunakannya untuk membeli dua pasang kasut kepada anak-anak muridnya. Maka, akhirnya, beliau dapat juga membeli bukan sahaja dua pasang kasut, tetapi juga dua helai baju, seluar tight, stokin dan sebagainya lagi untuk anak-anak muridnya. Beliau berkorban kasutnya sendiri hanya semata-mata untuk lihat anak-anak muridnya berlari dengan selesa dan sempurna. Ketika ditanya mengapa beliau menjual kasutnya sendiri, beliau menjawab, "jika kasut ini dapat memberi manfaat kepada orang lain, mengapa tidak?" Mungkin disebabkan keikhlasan dan pengorbanan yang dilakukan, kedua-dua anak muridnya itu telah mencatat keputusan yang sangat mengagumkan dalam pertandingan Merentas Desa Peringkat Negeri Pulau Pinang. Anak muridnya yang lelaki telah mendapat tempat pertama daripada keseluruhan 602 peserta 12 tahun ke bawah dalam acara 4 kilometer dan yang perempuan telah mendapat tempat kelima daripada 584 peserta 12 tahun ke bawah juga dalam acara 4 kilometer. Kedua-dua anak muridnya layak ke peringkat kebangsaan mewakili negeri Pulau Pinang. Sejarah baharu Sekolah Kebangsaan Tanah Liat telah tercipta. Kejayaan yang luar biasa ini telah menyebabkan Cikgu Kamel terpilih untuk ditempatkan dalam barisan kejurulatihan bersama-sama tiga orang jurulatih lain bagi negeri Pulau Pinang untuk ke Pertandingan Merentas Desa Kebangsaan yang bertempat di Putrajaya pada 7 Mac. Beliau diberi peluang untuk melatih, membimbing dan membantu pasukan negeri Pulau Pinang. Namun, pada ketika itu, Cikgu Kamel sekali lagi terpaksa melakukan pengorbanan besar apabila beliau dengan berat hati memilih untuk membantu kontinjen Pulau Pinang ke Putrajaya dan meninggalkan isteri dan anak perempuannya yang baru sahaja berumur 14 hari pada ketika itu. Benarlah, perbuatan yang baik hanya akan membuahkan perkara yang baik. Kejayaan demi kejayaan diraih Cikgu Kamel apabila pasukan Merentas Desa Pulau Pinang 2020 telah mencatat sejarah baharu negeri kerana berjaya memperoleh tempat ketiga keseluruhan di belakang Selangor dan Johor. Pada tahun 2019, pasukan Pulau Pinang sekadar meraih tempat ke sembilan keseluruhan. Berada di kedudukan nombor tiga keseluruhan merupakan kedudukan yang terbaik pernah negeri Pulau Pinang kecapi. Peningkatan yang luar biasa ini sudah tentu terhasil juga daripada pengorbanan yang luar biasa. Cikgu Kamel telah melakukan pengorbanan demi pengorbanan sedari awal lagi dan hasilnya, dibalas setara malah lebih lagi daripada Tuhan. Kisah Cikgu Kamel ini sangat memberi inspirasi. Pada usia yang sangat muda, beliau telah mengecapi pelbagai kejayaan besar. Malah, ketika diuji, beliau tidak mengalah dan bangkit dengan lebih kuat. Pada pandangan saya beliau antara satu dalam seribu. Beliau merupakan permata yang sangat bernilai. Sikapnya yang bertanggungjawab, ringan tulang, mudah menyesuaikan diri dengan keadaan sekeliling dan mementingkan kualiti dalam setiap pekerjaan yang dilakukannya menyebabkan beliau disegani oleh semua guru di sekolah. Untuk penutup, suka saya akhiri dengan slogan yang menjadi pegangan hidup Cikgu Kamel sendiri. Ordinary teachers teach, good teachers show, but a great teacher inspire. Maka dengan ini, saya mencadangkan Cikgu Mohamad Kamel Hafiz Bin Salim untuk Anugerah Guru Inspirasi Mcdonald's bagi tahun 2020. #TerimaKasihCikgu #McDSayangCikgu

Read More