Winners

Mr Mohd Izranuddin Bin Jelani

From SMK Tun Fatimah Hashim, Johor Bahru

Mr Mohd Izranuddin Bin Jelani's photo

Nominated by Irfan Zakwan Bin Zamri

Kehidupan seorang pelajar berhubung rapat dengan seorang guru. Jika di rumah, ibu bapa jadi pembimbing, justeru di sekolah, gurulah pengajar dan pendidik. Ibarat berguru kepalang ajar, bagai kembang bunga tak jadi menjadikan tugas seorang guru hari ini bukan sekadar menyiapkan para pelajarnya dengan segala keperluan ilmu dunia akhirat, tetapi juga tahap siap siaga maksima menghadapi masa depan global yang cukup mencabar. Banyak-banyak cikgu yang pernah saya jumpa, belajar dan dididik, ada seorang guru di sekolah saya yang cukup saya kagumi. Nama sebenarnya ialah Mohd Izranuddin Bin Jelani atau lebih dikenali sebagai Cikgu Izra. Orangnya kecil sahaja, tetapi jiwanya sangat besar. Orangnya juga tegas, tetapi sangat penyayang. Sejak beliau berpindah masuk ke sekolah saya pada tahun 2017, banyak perubahan telah berlaku kepada warga sekolah khususnya saya. Cikgu Izra banyak memberi ruang dan peluang kepada pelajar sekolah kami mengenal dunia perniagaan, keusahawanan dan pertanian. Jika dahulu, banyak tanah-tanah kosong sekitar sekolah terbiar begitu sahaja, namun telah berjaya dipenuhkan Cikgu Izra bersama pasukan Kelab Lestari mengusahakan 500 pokok cili fertigasi, 50 pokok durian belanda, 50 pokok pisang tanduk, 137 pokok limau kasturi, 1000 bongkah cendawan tiram kelabu selain 3 log madu kelulut yang hasil janaan pendapatannya dirasai warga sekolah. Setiap kali kami bantu Cikgu Izra petik cili atau kerja-kerja pertaniannya, kami akan dibelanja air atau makanan. Beliau cukup dikenali dengan murah hati dalam kalangan pelajar sekolah. Pernah beberapa orang rakan saya dipanggil mengadapnya atas sebab yang tidak diketahui. Namun sekembali semula mereka ke kelas dengan senyuman lebar. Apabila ditanya kenapa? Rakan-rakan saya menjawab Cikgu Izra memberikan sejumlah wang yang agak lumayan atas nama sedekah. Benar-benar memberi inspirasi kepada saya kerana Cikgu Izra gemar menghulur bantuan tanpa mahu diketahui oleh sesiapa. Kemesraan cikgu Izra bersama pelajar usah diragu. Bukan sahaja pelajar lelaki Melayu salam dan cium tangannya setiap kali habis kelas atau berjumpanya, malah rakan-rakan pelajar lelaki Cina dan India pun tidak kekok membuat perkara yang sama kepadanya. Nasihat dan tunjuk ajarnya yang mengajar mata pelajaran Pendidikan Seni Visual cukup menambah azam kami untuk berjaya tahun ini dalam SPM. Paling saya tabik Cikgu Izra yang dipanggil sebilangan pelajar dengan gelaran Papa atau Ayahanda ini ialah di sebalik kemesraan dan kemurahan hatinya, beliau juga cukup dikenali sebagai seorang guru yang sangat mementingkan kesempurnaan. Hasil karya seni perlu disiapkan tanpa culas dan malas. Marahnya walaupun agak keras, namun ditegur secara berhemah. Atas sebab inilah pencapaian mata pelajaran Pendidikan Seni Visual SPM baru-baru ini menduduki kedudukan 10 terbaik di daerah Pasir Gudang. Bukan sahaja pelajar, malah guru-guru juga cukup mengakui kehebatannya melakar kejayaan demi kejayaan. Tahun lepas, pasukan Toyota Eco Youth bimbingannya mendapat tempat ketiga peringkat kebangsaan atas projek kelestarian alamnya selain aktif dalam aktivit kepengakapan hingga ke peringkat antarabangsa. Terbaharu, Cikgu Izra diiktiraf sebagai penerima Anugerah Perkhidmatan Cemerlang (APC) 2018. Tahniah cikgu. Bak bernilainya karya seni Cikgu Izra yang penuh warna-warni, ianya cukup sinonim dengan sikapnya yang pemurah, baik hati, penyayang dan tegas mementingkan kesempurnaan, membuatkan saya menulis lembaran ini sebagai tanda penghormatan bahawa beliau sangat layak dimartabat dan dinobatkan sebagai Guru Inspirasi Mc Donald 2019. Cikgu Izra, terimalah bingkisan ikhlas saya ini. Saya sayang cikgu!

 

Read More