Winners

Dr Haji Joohari Bin Ariffin

From Institut Aminuddin Baki (Cawangan Utara), Jitra, Kedah

Dr Haji Joohari Bin Ariffin's photo

Nominated by Mohd Nizam Bin Shaari

Cikgu Joohari bin Ariffin. Saya menganggap ia satu nama besar dalam hidup saya kerana kehadirannya turut memberikan kesan yang besar dalam kehidupan saya sehingga kini. Ungkapan beliau, "sesuatu yang bermula dengan baik, akan berakhir dengan baik" saya ingat sehingga ke hari ini. Menyerap kata-kata itu di segenap salur darah dan daging menjadi azimat. Azimat yang menjadikan saya seorang "orang" pada hari ini. Cikgu Joohari mula mengajar saya pada ketika saya di tingkatan empat Sekolah Menengah Serdang, Kedah dengan subjek Perdagangan. Tahun 1992. Perwatakan beliau yang tenang dan berhemah membuatkan kami (murid-murid) tidak berasa ada jurang di antara pelajar dengan guru. Beliau mengajar dari hati, lalu pembelajaran itu sangat berbekas di hati kami. Saya skor A subjek Perdagangan dalam peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) pada tahun 1993. Saya masih ingat pada suatu hari Cikgu Joohari mempelawa saya menolongnya membuat papan tanda Bilik Kaunseling. Daripada kerja memotong papan, melukis dan sehinggalah mengecat papan tanda tersebut. Kerja itu mungkin biasa sahaja, namun di sebaliknya ialah Cikgu Joohari menghargai anak seorang tukang rumah, pekerjaan rasmi ayah saya. Katanya, "ke mana tumpahnya kuah kalau tidak ke nasi." Walaupun saya sebenarnya terkial-kial melakukan kerja itu, namun kerana dorongan dan semangatnya, saya mampu menyelesaikan tugasan itu dengan gembira. Pada suatu hari yang lain Cikgu Joohari pernah meminjamkan saya mesin taip miliknya, hanya kerana beliau meminta saya menyertai satu pertandingan menulis esei. Menulis juga antara bakat yang dikenal pasti oleh Cikgu Joohari pada diri saya. Sebelum itu saya pernah memenangi pertandingan menulis cerpen di sekolah. Cikgu Joohari juga yang memberikan saya keratan iklan daripada akhbar tentang pertandingan menulis esei itu. Habis waktu persekolahan, pada sebelah petangnya saya ke rumah Cikgu Joohari untuk menaip esei yang telah saya buat secara tulis tangan terlebih dahulu. Kebetulan Cikgu Joohari hanya menginap di kuarters guru. Jadi rumahnya dekat dengan sekolah. Pada waktu itulah saya mula mengenal papan kekunci mesin taip. Pada ketika itulah saya belajar menaip. Mesin taip Cikgu Joohari mesin taip lama, besar dan sangat berat. Pada hari pertama dan kedua tidak banyak yang saya dapat taip, ibarat ayam sakit mematuk padi, terlalu perlahan dan terkial-kial, kekok saya dibuatnya. Disebabkan segan berlama-lama di rumah Cikgu Joohari, saya pernah meminta pertolongan beberapa orang rakan memindahkan mesin taip itu ke dalam bilik darjah. Saya bersama tiga orang rakan yang lain mengusung mesin taip itu. Cikgu Joohari juga berkebolehan dalam berpidato. Saya mengikuti setiap aktiviti pidatonya. Hampir setiap tahun beliau mengungguli johan pidato, paling tidak pun sehingga ke peringkat daerah. Sebagai "budak" dari kampung saya memang jakun dan takut hendak bercakap. Dalam diam selain meminati retorika Cikgu Joohari dalam berpidato, saya berazam untuk tampil bercakap di hadapan orang ramai suatu hari nanti. Tidak lama selepas itu saya dipilih mewakili sekolah dalam pertandingan syarahan bagi sekolah-sekolah di peringkat Daerah Kulim Bandar Baharu, Kedah. Sekali lagi saya menulis teks syarahan dan menghafalnya kerana saya memang gugup dan gemuruh hendak bercakap secara spontan. Lutut menggeletar. Jantung berdegup kencang. Walaupun saya kalah, namun itulah motivasi permulaan untuk saya bercakap di hadapan orang ramai. Cikgu Joohari membawa saya apabila beliau terlibat memberikan ceramah-ceramah motivasi kepada pelajar-pelajar di sekolah lain. Saya akan menjadi fasilitator bersama beberapa orang rakan lain. Dari situlah saya mengutip pengalaman dan tips-tips motivasi. Saya tiru cara Cikgu Joohari berceramah. Hanya selepas itulah baharu saya berani memasuki pertandingan forum, pertandingan berbalas pantun dan pertandingan debat. Malah, yang paling mengujakan saya apabila Cikgu Joohari memberikan saya peluang memberikan ceramah motivasi kepada pelajar-pelajar junior. Daripada pelajar corot dengan keputusan teruk semasa peperiksaan Sijil Rendah Pelajaran (SRP) saya beroleh pangkat 1 dalam Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) tahun 1993. Saya juga dilantik sebagai Ketua Murid dan Ketua Pengawas sekolah. Apabila tamat peperiksaan Sijil Tinggi Pelajaran Malaysia (STPM) pada 1995 saya menghadapi dilema untuk mencari kerja. Cikgu Joohari mencadangkan saya memohon jawatan Guru Sandaran Tidak Terlatih (GSTT). Cikgu Joohari sendiri yang membawakan saya ke sesi temuduga jawatan tersebut di Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) Kulim, Kedah. Selain pakaian seragam sekolah saya tidak ada pakaian yang formal. Sebagai budak kampung yang tidak pernah jauh daripada dunia kampungnya, saya hanya ada pakaian yang dipakai untuk bermain dan duduk-duduk di rumah sahaja. Adalah baju raya (yang dibeli pada musim perayaan) untuk dibuat berjalan-jalan. Cikgu Joohari meminta saya memakai kemeja putih lengan panjang dan berseluar slack hitam. Itu pakaian rasmi katanya. Mana-mana temuduga pegawai kerajaan, mesti pakai pakaian begitu. Jika tidak ada Cikgu Joohari sedia meminjamkan baju kemeja putihnya. Saya hanya diam kerana malu. Memang saya tidak ada kemeja putih lengan panjang dan seluar slack warna hitam polos. Saya datang ke rumah Cikgu Joohari pada awal pagi hari temuduga dengan bermotosikal ditunggangi ayah. Perasaan saya semasa membonceng motosikal itu bercampur-baur. Saya hampir-hampir mahu membatalkan temuduga itu. Saya berseluar slack hitam berjalur kuning halus. Saya juga memakai kemeja putih berjalur coklat. Sesekali terasa macam "kuda belang". Saya diam saja sambil berpura-pura bersemangat dan penuh keyakinan. Cikgu Joohari tidak berkata apa-apa. Sambil menjemput saya dan ayah saya bersarapan nasi lemak di rumahnya, kami berbual hal-hal lain. Saya lega. Tidak disentuh langsung tentang pakaian saya yang macam kuda belang itu. Cikgu Joohari sendiri menghantar saya ke PPD Kulim Bandar Baharu. Saya kemudiannya lulus temuduga itu dan menjadi GSTT di Sekolah Menengah Sultan Ahmad Tajuddin di Permatang, Pasir, Bandar Baharu, Kedah. Enam bulan saya mengajar di Sekolah Suktan Ahmad Tajuddin tersebut sebelum enam bulan kemudiannya saya dipindahkan ke Sekolah Menengah Serdang, sekolah asal saya. Saya kemudiannya diterima memasuki Universiti Malaya (UM) pada tahun 1996. Itu hanya sebahagian kecil sumbangan dan peranan Cikgu Joohari yang sangat menginspirasikan saya. Sehingga kini, segala jasa dan baktinya memberi kesan dan impak yang sangat besar dalam kehidupan saya sebagai seorang bekas pelajarnya. Cikgu Joohari bin Ariffin kini ialah Pengetua di Institut Aminuddin Baki (IAB) Cawangan Utara dan beliau adalah bapa kepada tokoh anak muda Da'i Lukman iaitu anak sulungnya yang sempat saya dukung dan bermain-bermain dengannya pada sekitar usianya dua tahun.

 

Read More