Winners

Mr Arman Bin Ab Sani

From SMK Badin, Tuaran, Sabah

Mr Arman Bin Ab Sani's photo

Nominated by MOHD AZIZ BIN ABIDIN

Kusangkakan panas sampai ke petang, rupanya hujan ditengahari. Begitulah yang dapat saya simpulkan mengenai perjalanan hidup saya. Ketika berumur 16 tahun, saya telah menjadi Orang Kurang Upaya (OKU) penglihatan akibat menghidap penyakit Glaukoma. Pada tahun 2008, saya telah mendaftar di SMK Badin Tuaran, Sabah untuk tingkatan 6 dan saya tinggal di asrama. Sekolah ini mempunyai Program Intergrasi bagi pelajar pendidikan khas bermasalah penglihatan dan menghimpunkan pelajar OKU penglihatan dari pelusok negeri Sabah. Saya berasal dari Limbang, Sarawak dan di Sarawak turut mempunyai sekolah pendidikan khas bermasalah penglihatan yang terletak di Kuching, Sarawak. Memandangkan tempat tinggal saya lebih dekat dengan SMK Badin Tuaran, maka keluarga saya mengambil keputusan untuk menghantar saya bersekolah di Sabah. Di SMK Badin inilah saya dipertemukan dengan Cikgu Arman Bin Ab Sani. Beliau merupakan seorang guru pendidikan khas keluaran dari Universiti Kebangsaan Malaysia dan merangkap warden asrama. Beliau mula bertugas di SMK Badin sejak dari tahun 2007 lagi. Beliaulah yang bertanggungjawab dalam membentuk diri saya pada hari ini. Pada permulaan saya masuk ke sekolah itu, saya begitu pendiam dan pasif. Saya masih tidak boleh menerima kenyataan yang saya sudah tidak Nampak dan berasa tertekan mempelajari tulisan Braille. Pada waktu itu juga, saya dapat rasakan yang jiwa saya kosong dan tidak tahu hala tuju saya selepas ini sebagai seorang OKU. Menyedari keadaan saya sebegitu rupa, perlahan-lahan Cikgu Arman cuba mendekati saya dan memberi suntikan motivasi untuk saya terus bersemangat. Dari hari ke hari, Cikgu Arman banyak bercerita tentang dunia OKU penglihatan kepada saya. Beliau banyak bercerita mengenai hala tuju OKU penglihatan di luar sana, tokoh-tokoh OKU penglihatan yang Berjaya serta teknologi yang OKU penglihatan selalu gunakan untuk kehidupan seharian. Beliau pernah berpesan bahawa hanya dengan pelajaran sahaja masyarakat luar akan memandang tinggi OKU dan mempercayai kebolehan OKU. Berpegang kepada nasihat itu, saya mulai menanam azam untuk terus bangkit dan berusaha dengan gigih untuk mencapai kejayaan. Dari masa ke masa, hubungan saya dengan Cikgu Arman bertambah rapat. Beliau banyak membantu saya dalam bidang pelajaran dan kehidupan seharian. Beliau banyak memberikan saya bahan-bahan tambahan dalam bentuk Braille untuk memastikan saya tidak banyak ketinggalan dengan pelajar aliran perdana. Ketulusan dan keikhlasan hati Cikgu Arman dalam membantu OKU memang tiada tandingan. Ternyata semua rakan-rakan khas yang lain amat senang dengan Cikgu Arman. Beliau sanggup berkorban masa, wang dan tenaga untuk memastikan anak didiknya Berjaya dalam bidang pelajaran. Dengan sokongan padu dari Cikgu Arman, saya telah mendapat keputusan yang cemerlang dalam Sijil Tinggi Pelajaran Malaysia (STPM) dan Berjaya melanjutkan pelajaran ke Universiti Sains Malaysia. Pada tahun 2015, saya telah Berjaya mengenggam segulung ijazah. Sekarang sudah masuk tahun 2019. Sudah 2 tahun saya menjadi Pegawai Tadbir di salah sebuah jabatan kerajaan di Sarawak manakala pada tahun ini Cikgu Arman telah menjadi seorang Pensyarah Pendidikan Khas di Institut Perguruan Ilmu Khas, Kuala Lumpur. Kami masih lagi berhubungan walaupun sudah lama tidak bersua muka. Terima kasih Cikgu Arman. Siapa saya pada hari ini adalah hasil didikan cikgu sebelum ini. Ya, saya betul-betul percaya bahawa dengan pelajaran saja orang luar akan memandang tinggi OKU seperti saya. Perjalanan hidup saya masih jauh dan saya masih perlukan cikgu untuk terus memberi nasihat yang berguna kepada saya. Dengan pencalonan ini, saya amat berharap cikgu akan terpilih untuk menerima Anugerah Guru Inspirasi tanda penghargaan saya kepada cikgu. Terima kasih sekali lagi, Cikgu Arman. Jasamu terukir di bintang…

 

Read More