Winners

Madam Rozita Lazim

From Sekolah Kebangsaan Bagan Tuan Kechil, Pulau Pinang

Madam Rozita Lazim's photo

Nominated by Nur Adilla Abd Rahim

Dahulu, saya minat untuk berlakon teater sewaktu sekolah rendah, tetapi saya pemalu. Malaysia masih baru dua dekad merdeka dan kebanyakan sekolah termasuk sekolah tempat saya belajar tidak ada banyak sumber untuk menampung aktiviti kokurikulum pelajar. Pada suatu hari, saya mendapat peluang untuk menjadi pokok dalam persembahan teater sekolah. Tidak ada polistrin besar berbentuk pokok seperti sekarang ni, kami hanya menggunakan ranting dan daun sebenar. Tetapi kami gembira. Saya gembira. Saya menjadi seorang yang berkeyakinan hari ini, menjadi diri saya hari ini adalah kerana saya pernah diberi peluang menjadi sebatang pokok yang tumbuh di atas pentas dahulu!

Kami semua ketawa mendengar kisah Cikgu Rozita. Tetapi semakin aku membesar, aku semakin memahami makna ceritanya ini. Menurut beliau, sejak beliau di maktab perguruan, beliau berazam untuk membentuk keyakinan dan memberikan kegembiraan kepada anak didiknya melalui aktiviti bahasa dan kokurikulum. Cikgu Rozita mahu pembelajaran dalam kelas menjadi sesi yang interaktif dan tidak bosan.

Beliau bukan calang-calang. Di tangannya, murid-murid dari pelbagai latar belakang, dari kelas paling hadapan ke kelas paling belakang, telah dibentur menjadi jaguh bercerita dan berpidato. Cikgu Rozita menghabiskan masa petangnya hampir setiap hari untuk melatih anak-anak muridnya bagi pelbagai pertandingan. Yang malu, yang berani, yang segan, yang malas, di tangan Cikgu Rozita, semua bertukar menjadi emas di pentas kata-kata dan bahasa!

Cikgu akan memakaikan kami dengan pakaian terbaik di hari pertandingan. Menang atau kalah bukan lagi persoalan, tetapi cikgu mahu kami bangga dengan diri dan berkeyakinan. Semua tahu Cikgu banyak berhabis membelikan anak muridnya uniform untuk pertandingan bicara berirama. Meskipun kalah, kami semua tahu akan ada hadiah dari Cikgu Rozita.

Kokurikulum akan menjadikan kamu pintar, gembira, dan paling penting, berkeyakinan, adalah mantra kata-kata yang selalu diucapkannya.

Cikgu Rozita mengajar lebih dari segala yang ada dalam buku teks dan silibus sekolah. Dia dengan gigih membawa perpustakaan bergerak ke dalam kelas iaitu sebuah kotak yang diisi dengan pelbagai majalah dan buku untuk kami baca. Bagi kelas-kelas Bahasa Melayu yang diajarnya, kami akan berlakon, berdrama, melukis kartun, menggunakan kamus bahkan melukis dan mewarna. Cikgu Rozita kreatif dalam pengajarannya. Cikgu meraikan anak-anak muridnya yang berjaya datang ke sekolah terutamanya dari kelas belakang dengan hadiah galakan seperti bunga yang comel atau bantal berbentuk hati tanda cintanya kepada kami.
Paling kukagum dengan Cikgu Rozita, dia tidak mengenal batas sekolah. Cikgu berkongsi ilmu dengan guru-guru dari sekolah sekitar Butterworth mengenai teknik pengajaran kokurikulum kepada murid-murid. Dia mahu semua anak negara ini membesar bukan sahaja cerdik dan pandai, tetapi berani dan berkeyakinan.

Beberapa minggu yang lalu, aku melakukan aktiviti CSR di sebuah kampung kecil di Kluang, Johor. Ketika sedang menyiapkan beberapa poster hebahan di perpustakaan kampung, aku terdengar sekumpulan anak kecil berusia 7-8 tahun sedang berbincang mengenai kerja rumah mereka. Kalau bola, ball, tampar apa ya?  Tanya salah seorang. Takkanlah ball slap? seorang lagi membalas. Aku ketawa dan seraya merapati mereka. Siapa nak belajar guna buku yang paling magic di dunia? tanyaku kepada mereka. Semua menyambutku dengan sorak-sorai. Aku kemudiannya mengajar mereka menggunakan kamus dengan cara yang menarik dan interaktif. Semua ketawa dan siap ada yang melakonkan perkataan yang kami jumpa dalam kamus.

Sewaktu bersama mereka, aku tidak putus teringatkan Cikgu Rozita. Beginilah kelas kami dahulu, cara Cikgu mengajar menggunakan keceriaan dan kekreativitian, melalui ekspresi bahasa dan seni memang tidak pernah gagal. Dia tahu kelompongan pendidikan dan mengisinya dengan kepintaran dan kasih sayang. Dia tahu apa yang terbaik untuk menjadikan anak didiknya mencintai ilmu sepenuh kalbu.

Aku kini sudah dewasa. Dari Malaysia ke Amerika, tempatku menuntut ilmu di menara gading, aku tidak pernah bertemu dengan seorang guru yang berdedikasi seperti Cikgu Rozita. Yang berhabis wang dan tenaga demi anak didiknya.

Kini, Cikgu Rozita berkhidmat di sebuah sekolah kurang murid yang terpencil di Butterworth. Aku dengar dia masih dia yang dahulu kadangkala dia masih mengangkat perpustakaan bergeraknya sampai ke tingkat tiga untuk anak didiknya membaca, dia masih membelikan baju dan kasut sekolah baru untuk yang tidak mampu, dia tetap setia menggoreng ayam dan membeli bantal berbentuk hati supaya anak-anak kesayangannya datang ke sekolah. Dan, dia tetap cikgu yang sama, yang menempah piala-piala kemenangan dari kedai dekat sekolah untuk anak didiknya yang tidak mendapat tempat satu, dua, tiga dalam karnival bahasa.

Pada Cikgu Rozita, kami ialah pemenang dan selalu layak mendapat piala.

Pada kami, Cikgu ialah juara melebihi segala piala. Cikgu Rozita ratu hati kami, yang sentiasa kami cintai. Cikgu sentiasa menang, takkan pernah kalah, selama-lamanya.

 

Read More