Nominees

Mr Mohd Yusri bin Mohamed

From SMK Dato' Ahmad Maher, Kota Bharu

Mr Mohd Yusri bin Mohamed's photo

Nominated by Tuan Fajrina bt Tuan Manshar

Amanah & Bertanggungjawab…Pengorbanan demi sebuah kejayaan. Itu satu gambaran yang paling tepat untuk saya ungkapkan kepada sumber inspirasi yang saya dapat dari cikgu Mohd Yusri bin Mohamed. Saya merupakan bekas pelajar di SMK Dato’ Ahmad Maher yang mengambil SPM pada tahun 2018. Semangat Seorang guru Pendidikan Jasmani dan Pendidikan Kesihatan serta seorang guru sukan disebuah sekolah Kluster kecemerlangan ini menjadi inspirasi saya dalam kehidupan seharian. Mata pelajaran Pendidikan Jasmani dan Pendidikan kesihatan bukanlah popular disekolah berorientasikan kecemerlangan seperti sekolah saya tetapi kesungguhan guru ini memberi komitmen kepada pengajaran dan pembelajaran subjek ini telah membuka mata semua pihak termasuk pelajar dan ibubapa. Saya masih ingat berkaitan dengan pemakaian baju PJ disekolah saya yang dulunya tidak diambil berat oleh pelajar tetapi bermula kehadiran beliau disekolah saya..satu sekolah mula memakai pakaian seragam PJ lengkap sepenuhnya. Beliau tidak akan membenarkan kelas PJ diadakan dipadang atau dewan sekiranya pakaian pelajar tidak lengkap. Perjuangan beliau berhasil dan akhirnya sekolah saya dinobatkan sebagai sekolah amalan terbaik PJPK peringkat negeri oleh JPN Kelantan pada tahun 2017. Keistimewaan guru ini juga ialah melakukan sesuatu dengan sungguh mesra tetapi tegas dalam setiap tugasan yang dibawa. Dalam bab ini beliau seolah-olah menjadi tarikan minat kepada pelajar. Apa yang menarik juga tentang guru ini, beliau akan mengajar subjek PJPK secara bersungguh-sungguh walaupun mata pelajaran ini tidak melibatkan peperiksaan. cara pengajaran beliau dengan menekankan kerja projek, nota dan latihan membuatkan pelajar-pelajar tahu yang mata pelajaran Pendidikan Jasmani dan Pendidikan Kesihatan juga mempunyai sukatan yang amat baik untuk menjadikan seorang pelajar sempurna aspek Jasmani, Emosi, Rohani, Intelek, Sosial. Kata- kata beliau yang paling saya ingat adalah tiada subjek di dunia ini yang mengambil berat tentang benda yang paling penting kepada manusia iaitu jantung, tetapi PJPK memberi penekanan yang serius. Disamping seorang guru disekolah, Cikgu ini juga merupakan warden harian kami di asrama. Cikgu ini tidak pernah lekang dengan nasihat- nasihatnya yang berguna untuk kami dan akan sentiasa memastikan kami tidak lalai dalam urusan seharian. Kegigihan beliau dalam bekerja juga menjadi perhatian saya kerana beliau dilihat seolah-olah tidak mengenal penat lelah. Ada pada suatu masa, beliau baru sahaja pulang dari Sabah untuk urusan rasmi pada jam 8.00 malam di Lapangan Terbang Kota Bharu tetapi berada di Pejabat Warden Asrama Sekolah pada jam 9.00 malam hari tersebut. Bila kumpulan pelajar tanya, beliau menjawab “dah balik sekejap untuk mandi, makan dan jumpa anak isteri, cukuplah tu”…kami semua saling berpandangan bila melihat muka beliau yang langsung tidak menampakkan kepenatan. Pada malam yang sama beliau masih bersemangat menguruskan lawatan asrama kami kerana urusan penginapan dan pengangkutan serta beberapa perkara yang masih belum selesai untuk lawatan 2-3 minggu akan datang. Kadang-kadang kami bertanya sendiri, bila masa guru ini bersama keluarga sebab kadang- kadang sampai petang berada disekolah dan dipadang tetapi malamnya ada diasrama bersama kami. Sekiranya ada pelajar sakit di asrama, guru ini jugalah yang akan memberi bantuan awal membawa kami ke hospital dan kadangkala menunggu sehingga ke awal pagi. Paginya tetap ke sekolah mengajar seperti biasa. Pengalaman saya ke hospital bersama guru ini menjadi lebih menarik kerana saya dibelanja McDonalds oleh beliau. Tentang kewangan sememangnya guru ini tidak lokek dan sentiasa membelanja pelajar yang ada urusan bersamanya. Melihat kepada usaha dan pengorbanan guru ini yang sangat berdedikasi dan bertanggungjawab. Saya terpanggil untuk menjadikannya inspirasi saya dengan berusaha lebih gigih dan bersungguh –sungguh demi mencapai cita-cita saya. Kecekalan beliau mengorbankan masa dan tenaga dalam amanah yang dipegang memberikan saya kesedaran yang bukan senang untuk mengapai impian. Gaya bersahaja, ceria dalam sebuah ketegasan adalah model kehidupan saya pada masa akan datang. Pastinya cara ini menjadi idola untuk sebuah kecemerlangan. banyak pedoman dan nasihat-nasihat cikgu yang akan saya bawa sebagai panduan di alam selepas persekolahan nanti…TERIMA KASIH CIKGU