Nominees

Mrs SITI HAWA BINTI MUHAMAD

From SMK ZAINAB 1

Mrs SITI HAWA BINTI MUHAMAD's photo

Nominated by MOHD FAIZAL BIN ABDUL GHANI

Penyayang, cekal, gigih, dan penuh kesantunan seorang ibu adalah ciri dinamik yang dimiliki oleh guru inspirasi saya yang saya panggil 'Bonda'. Bonda Siti Hawa ialah Guru Bahasa Melayu STPM saya sewaktu di Tingkatan 6 SMK Putera, Kota Bharu. Pada awal perkenalan dengan Bonda Siti Hawa saya sudah tertarik dengan personalitinya sebagai seorang guru yang cukup cekal mendidik saya di dalam bilik darjah. Selain bergelar Guru Bahasa Melayu, beliau juga ialah jurulatih kepada saya bagi Forum Remaja, Pidato Bahasa Melayu, dan Pesta Pantun Piala Sirih Pulang Ke Gagang. Pada awalnya saya ialah pelajar yang kurang berkeyakinan dalam seni orator dan agak gementar untuk berbicara di hadapan khalayak ramai. Atas didikan, tunjuk ajar dan motivasi yang tinggi oleh beliau akhirnya saya cemerlang dalam bidang seni orator. Demi menyambung legasinya saya masih aktif pada hari ini sebagai Guru Bahas Bahas Melayu, Guru Pantun, Guru Pidato Bahasa Melayu dan Guru Drama Bahasa Melayu di sekolah tempat saya berkhidmat sekarang. Bonda Siti Hawa cukup tabah mendidik saya. Jujur saya kongsikan bahawa saya pernah mendapat gred F bermaksud gagal dalam peperiksaan. Beliau banyak membantu saya untuk bangkit semula tatkala saya semakin kecundang. Siapa sangka atas didikan yang tidak pernah jemu akhirnya saya muncul sebagai antara pelajar cemerlang STPM 2004 SMK Putera dengan keputusan cemerlang bagi subjek Bahasa Melayu. Perjalanan saya berbelas tahun meninggalkan alam persekolahan tidak pernah membuatkan saya melupakan jasa dan bakti beliau. Sewaktu mengikuti pengajian ijazah sarjana muda, sarjana dan sekarang saya sedang mengikuti pengajian ijazah kedoktoran beliau masih menjadi pembakar semangat untuk saya menjadi yang terbaik dalam kalangan yang terbaik. Andai dicari ganti, Bonda Siti Hawa ialah permata dalam sejuta. Sehingga saat ini dia ialah idola saya dalam dunia perguruan yang penuh mencabar. Kejayaan demi kejayaan saya bawa pulang untuk sekolah sekarang adalah berkat inspirasi daripada beliau yang cukup komited mendidik anak bangsa. DIA GURU INSPIRASI SAYA. Terima Kasih Cikgu!