Mdm NOR HAFIZAH BINTI AB RANI
From SEKOLAH MENENGAH AGAMA PERSEKUTUAN BENTONG, 28600 KARAK,PAHANG
Nominated by MUHAMMAD NAJMI NAIM BIN MUSTAFFA
Cikgu Nor Hafizah binti Ab Rani, seorang yang tidak asing dalam dunia pendidikan dan kaunseling di SM Agama Persekutuan Bentong. Sifatnya yang lemah-lembut serta keperibadiannya yang luhur membuat kami warga sekolah amat menyanjungi beliau dan beliau boleh diibaratkan seperti ibu kami sendiri. Baiklah, terdapat banyak kisah antara kami berdua. Pahit dan manis semuanya bercampur baur. Beliau ialah seorang guru kaunseling yang tiada erti penat dan lelah. Aku teringat lagi, pada ketika itu aku mempunyai masalah tekanan yang melampau. Boleh katakan aku setiap hari menangis. Aku merujuknya untuk mendapatkan nasihat. Sebenarnya, aku tidak tahan belajar di sekolah aku tersebut. Tapi, atas segala nasihat dan bimbingan darinya, aku terus menghabiskan pengajianku di sekolah tersebut iaitu SM Agama Persekutuan Bentong sehingga tingkatan 5. Berkat nasihat dan bimbingan beliau, aku turut berjaya mencapai keputusan yang cemerlang dalam SPM. Sewaktu aku berada di Tingkatan Empat, aku dan tiga orang lagi sahabatku telah menyertai pertandingan 'Eksplorasi Peringkat Kebangsaan' dan dikelolakan oleh beliau sebagai guru penasihat. Bukan senang untuk memenangi pertandingan tersebut. Kami terpaksa berulang alik dari Felda Mempaga, Bentong ke Kuala Lumpur untuk membuat kajian yang terperinci untuk memenuhi setiap kriteria pertandingan.Beliau sanggup menghabiskan duitnya untuk persiapan pertandingan tersebut. Beliau menemani aku dan kawan-kawan untuk mempersiapkan segala dokumen dan hal-hal pertandingan sehingga lewat pagi. Sehingga jam 3 pagi ! Beliau terpaksa meninggalkan anak-anak dan duami di rumah hanya untuk membantu kami mempersiapkan tugasan pertandingan tersebut. Alhamdulillah, kami berjaya mendapat anugerah Emas dan tempat pertama dalam pertandingan tersebut. Seukir senyuman dan rasa gembira yang tidak terhingga beliau ketika mendengar keputusan kemenangan kami tersebut. Bagi aku, tugas menjadi seorang kaunselor bukannya mudah. Masalah sendiri dicampur dengan masalah orang lain amatlah sukar untuk diselesaikan. Oleh sebab itu, aku tabik kepadanya. Manakan tidak, dalam menjalankan tugasnya itu, peristiwa sedih turut menimpa beliau. Beliau telah mengalami keguguran sebanyak dua kali. Doktor mengesahkan bahawa beliau terlampau penat dan sibuk bekerja. Aku berasa sangat kasihan kepada beliau. Aku ingat lagi kata-katanya. "Naim,Cikgu penat. Tetapi cikgu terpaksa hanya untuk melihat anak-anak murid cikgu berjaya." Ya, kata-katanya itu penuh dengan kejiwaan seorang pendidik. Betapanya hebatnya naluri seorang guru hanya untuk melihat anak didikannya berjaya menjadi orang yang cemerlang tanpa memikirkan masalah yang mendatang kepada dirinya. Aku sebagai salah seorang yang rapat dengan beliau, aku sentiasa melihat dia penat dan lesu. tetapi, dia melawan semua itu dan berusaha untuk menjalankan amanah beliau dengan penuh tanggungjawab. Kadangkala, dia pernah memberitahu aku bahawa dia tidak pernah tidur hanya untuk menyiapkan bebanan kerja. Pada tahun lepas beliau bercuti 3 bulan untuk cuti bersalin. Namun pada waktu itu, dia tetap menjalankan amanah dan pekerjaanya walaupun sedang berpantang. Betapa komitednya beliau dalam melakukan pekerjaan walaupun dalam tempoh cuti bersalin. Setiap nasihat yang diberikan banyak mengubah hidup para pelajar di sekolahku. Ramai yang berjumpa beliau untuk mendapatkan nasihat. Alhamdulillah, semua pelajar tersebut menunjukkan reaksi positif selepas berjumpa beliau sehari ke sehari. Ya, Cikgu Nor Hafizah binti Ab Rani, banyak mengubah hidup aku sebagai seorang pelajar. Dia bukan sahaja sebagai seorang guru, malahan boleh diibaratkan sebagai seorang ibu. Aku berharap agar Tuhan dapat membalas setiap pekerjaan yang dibuat olehnya. Semoga beliau terus cemerlang dalam setiap pekerjaannya. Terima kasih cikgu, Maafkan saya cikgu, Doakan saya cikgu, Saya sayang cikgu !