Mr AZIZUL B MOHD HASAN
From SK JAWI

Nominated by MUHAMMAD SHAZWAN B SUKRI
Kisah inspirasi saya bersama seorang guru sains yang hebat dan saya kagumi di sekolah saya iaitu Cikgu Azizul b Mohd Hasan. Dahulu di sekolah ini tidak begitu terkenal dan kurang mencapai kejayaan di dalam bidang inovasi sains berbanding sekolah yang lain. Namun sejak kedatangan beliau pada tahun 2014 di sekolah ini, beliau telah membawa satu pembaharuan dan membuka bidang baru kepada murid-murid di sekolah ini di dalam pertandingan inovasi sains. Masih diingat bagaimana hasil usaha beliau buat kali pertama menghantar kertas kerja inovasi telah berjaya melayakkan 3 orang murid dan 3 orang guru pengiring di sekolah ini terpilih mewakili sekolah di dalam pertandingan Anugerah Inovasi Negara peringkat kebangsaan di PWTC, Kuala Lumpur. Pihak penganjur turut menyediakan tiket penerbangan pergi dan balik ke Kuala Lumpur secara percuma. Inilah hasil usaha dan kejayaan Cikgu Azizul membawa murid dan guru yang terlibat menaiki pesawat MAS buat pertama kalinya dengan penuh teruja. Selain itu, Cikgu Azizul juga pernah membawa cabaran untuk membawa pasukan inovasi sekolah menyertai pertandingan inovasi di peringkat antabangsa yang diadakan di Jakarta, Indonesia. Beliau telah berusaha gigih menyediakan kerta kerja untuk memohon sumbangan dan mencari dana bagi menampung kos perjalanan dan penginapan murid ke sana dari semua pihak namun tidak berjaya. Akhirnya beliau ke sana bersama 3 orang murid terpaksa mengeluarkan perbelanjaan sendiri dengan dibantu perbelanjaan oleh waris murid yang terlibat. Pasukan inovasi sekolah ini berjaya mengharumkan nama Malaysia dan sekolah apabila berjaya meraih pingat emas di sana. Perjalanan Cikgu Azizul membawa murid di sekolah ini di dalam pertandingan inovasi telah berjaya meraih kira-kira 9 pingat emas, 1 pingat perak dan 1 pingat gangsa sepanjang 2016-2019 setakat ini dan semuanya di peringkat kebangsaan dan antarabangsa. Pada tahun 2016 juga, Cikgu Azizul telah berjaya membawa pasukan sekolah mewakili negeri Pulau Pinang di dalam pertandingan rekacipta dan berjaya meraih juara kebangsaan. Hasil kemenangan itu, Cikgu Azizul telah menyerahkan duit kemenangan pertandingan itu sebanyak RM6000 kepada pihak sekolah untuk digunakan tanpa sesen pun diambil untuk kegunaan peribadi. Cikgu Azizul juga mempunyai sifat yang pemurah apabila setiap kali membawa murid-muridnya menyertai pertandingan. Beliau pasti akan menggunakan wangnya untuk membelanja murid-murid makan tambah-tambah murid yang menyertai pertandingan berjaya meraih kejayaan. Burger Mc Donalds pasti menjadi pilihan murid-muridnya untuk menjamu selera. Masih diingat bagaimana kereta beliau rosak di tengah jalan selepas itu, namun beliau terus mencari jalan menghantar murid-muridnya segera ke rumah. Selain itu, Cikgu Azizul tidak lokek menggunakan wangnya untuk membeli air atau makanan buat murid-murid Tahun 6 yang hadir mengikuti kelas tambahan jika diadakan pada hari Sabtu dan Ahad bagi membuat persediaan untuk menghadapi peperikaan UPSR. Beliau juga turut menyediakan nota rujukan yang di fotostat menggunakan wang sendiri bagi murid yang tidak mampu membeli buku rujukan di kedai. Kejayaan paling manis beliau apabila ada murid yang berada di kelas tercorot mampu menghadiahkan A kepada beliau dalam UPSR bagi mata pelajaran Sains. Cikgu Azizul juga telah mengambil inisiatif dengan menyediakan sebuah bilik mini galeri inovasi di sekolah ini dari sebuah bilik yang usang dan tidak digunakan dengan menggunakan sebahagian wangnya. Hasil usaha beliau maka lahirlah sebuah bilik mini galeri inovasi yang ceria dan menempatkan medal dan piala kejayaan dari anak didiknya untuk dipamerkan kepada pelawat yang datang ke sekolah. Dengan penglibatan yang sangat aktif serta kejayaan dari tahun ke tahun dalam bidang kokurikulum telah melayakkan Cikgu Azizul menerima Anugerah Johan Guru Cemerlang Kokurikulum bagi tahun 2017 dan 2018 berturut-turut oleh Jabatan Pendidikan Negeri Pulau Pinang. Kejayaan beliau terus cemerlang apabila terpilih sebagai finalis top 5 Guru Cemerlang Kokurikulum di peringkat kebangaan pada tahun 2018 serta Anugerah Perkhidmatan Cemerlang pada tahun 2010 dan 2017. Semoga tahun 2019 juga terus memberi kejayaan pada Cikgu Azizul untuk terus menabur bakti mendidik anak bangsa dan menyebarkan ilmu sains dan teknologi buat anak didiknya khususnya dalam bidang inovasi dan STEM.