Mdm Mine@Minnie Suiking
From Smk Limbanak Penampang

Nominated by Rachel William
Ini adalah kisah tentang seorang insan yang telah memberi inspirasi kepada pelajar-pelajar tingkatan 6 atau Pra Universiti di Smk Limbanak Penampang, Sabah. Beliau merupakan seorang pensyarah bagi mata pelajaran Pengajian Am dan lebih dikenali sebagai Ibu Minnie, disebabkan cara mengajarnya yang bersifatkan seorang ibu yang mengajar anak-anaknya sehingga faham akan sesuatu perkara tanpa mengenal erti penat atau bosan untuk menjawab soalan serta mengajar pelajar-pelajarnya . Beliau merupakan seorang pensyarah yang sangat bertanggungjawab dan prihatin terhadap semua pelajarnya. Pada semester pertama saya belajar di pusat tingkatan enam daerah Penampang ini, saya sering kali tidak mengambil berat tentang pembelajaran saya di sini dan hanya memasuki tingkatan 6 untuk menjejakkan kaki ke Universiti Tempatan. Namun, setelah beberapa minggu bersama dengan Cikgu Minnie sebagai Guru Kelas dan juga Guru Mata Pelajaran Pengajian Am, saya sangat menyukai sikapnya yang mengajar kami dengan penuh bersemangat setiap hari dan melayani kami seperti keluarga dan anak-anaknya sendiri. Beliau telah memberi kami banyak nasihat dan dorongan yang tidak terhingga dalam setiap aktiviti yang kami sertai sehinggalah kami memenangi Kelas Terbersih dan Terceria pada setiap Minggu serta berjaya menyandang Kelas Terceria bagi Semester Pertama kami sebagai pelajar Pra Universiti di Smk Limbanak . Dalam pada itu beliau juga seorang guru yang sangat prihatin terhadap masalah yang kami hadapi dan berusaha untuk membantu kami walaupun terpaksa mengorbankan waktu, tenaga dan juga kewangan. Beliau tidak pernah menyakitkan hati kami ataupun melemahkan semangat kami untuk meneruskan pembelajaran apabila gagal mencapai tahap minimum bagi mata pelajaran pengajian am pada waktu ujian bagi semester 2, walaupun pada ketika itu kami telah menjawab dengan sehabis boleh, sebaliknya, beliau mengatakan bahawa kegagalan itu adalah salah satu proses pembelajaran dan sesiapa yang tidak merasakan kegagalan tidak akan memahami maksud sebenar kejayaan yang ingin dikecapi. Semester 2 merupakan saat yang sangat sibuk untuk pelajar kerana diwajibkan untuk membuat kerja kursus dan juga meneruskan silibus untuk Peperiksaan STPM Semester 2 dalam masa yang serentak , saya yang ingin keluar daripada tingkatan 6 telah membatalkan niat saya untuk berhenti dan berjanji kepada diri saya sendiri untuk tidak mengecewakan cikgu Minnie sekali lagi dan akan berusaha untuk mencapai keputusan yang baik untuk diri saya sendiri. Cikgu Minnie telah memberi saya inspirasi untuk meneruskan perjuangan saya dan menjejakkan kaki ke menara gading. walaupun saya merupakan seorang pelajar yang tidak berkemampuan dan tidaklah mempunyai tahap kepandaian yang tinggi tetapi saya yakin dengan adanya dorongan daripada seorang guru yang tidak pernah berhenti mengalah untuk memberi sokongan dan harapan kepada pelajarnya, satu hari nanti kami akan dapat mencapai kejayaan dengan usaha yang gigih. saya juga telah menanam cita-cita untuk menjadi seorang tenaga pengajar seperti cikgu Minnie pada masa hadapan kelak. kehadirin Cikgu atau Ibu Minnie dalan kehidupan kami merupakan satu anugerah yang tiada gantinya, walau waktu gembira atau sedih, sihat atau sakit, beliau sentiasa memberi kami kasih sayang seorang guru yang tidak akan dapat diganti walau dengan apa pun. Terima kasih cikgu Minnie, kerana menjadi semangat dan Inspirasi dalam hidup kami untuk menjadi insan yang lebih berguna kepada diri, keluarga, masyarakat dan juga Negara.