Mrs NUR KAMARIAH BINTI RAMLI
From SEKOLAH MENENGAH KEBANGSAAN GETING

Nominated by NUR AIN FATIHAH BINTI MD. BAHAWI
Engkau guru hebat. Apa yang diamanahkan untukmu, itulah yang dibawa bersama menyelusuri jejak-jejak kehidupan yang penuh onak dan duri. Aku, salah seorang anak didikmu yang menjadi saksi akan perit jerihmu membina jiwa-jiwa manusia menjadi insan yang berani, yakin diri dan mencintai setiap inci nikmat yang diberikan Tuhan. Bermula dari tangan kosong, engkau seorang guru Pendidikan Seni Visual yang telah mencorak jiwaku mengenal betapa indahnya seni dalam kehidupan. Benar, guru adalah insan terpilih. Engkau membimbing aku sehingga tangan kosong ini menjadi bukti akan lahirnya karya-karya seni yang memberi ilham kepada anak-anak generasi kini. Hari ini, tatkala jari jemari ini asyik menekan huruf-huruf pada papan kekunci komputerku, aku terimbas saat aku pernah jatuh, ditolak oleh tangan-tangan manusia yang tak suka melihat aku berkarya. Kata mereka, "Apalah sangat nak dibanggakan dengan seni, jadi pelukis tepi jalan lah kau nanti". Darah mudah cepat melatah, lalu aku memberontak, melarikan diri dari khalayak ramai bersama pensil dan buku lukisanku. Lalu, tangan ini terasa dipegang oleh seseorang yang sangat ku kenal hati budinya. Lantas diambilnya pensil dan buku lukisanku, lalu dilukisnya satu pemandangan yang cukup indah. "Suatu masa nanti, kamu akan sampai ke satu destinasi yang sangat indah, dimana kamu akan sedar bahawa setiap perkara yang berlaku hari ini sama ada pahit ataupun manis, itulah yang akan menjadikan kamu seorang manusia yang punyai jiwa", kata beliau. Maknanya agak samar waktu itu tapi aku cuba memahami. Ya, engkau turut terkena tempiasnya. Mereka mungkin memandang rendah subjek Pendidikan Seni, tapi cikgu, cikgu sedaya upaya mengangkat martabatnya agar terlihat gah dimata mereka, bukan untuk membangga diri, tapi untuk memberi peluang kepada anak-anak muridmu mencari 'jalan keluar' andai suatu hari nanti mereka terkunci dek kesesakan peluang pekerjaan yang semakin tipis. Cikgu, engkau sebenarnya yang memberi aku kekuatan saat yang lain cuba melemahkan langkahku. Engkau yang membawa aku menempuh satu perjalanan panjang dimana aku mula mengenal siapa diriku yang sebenar. Buktinya, setiap tahun engkau berjaya melahirkan ramai anak-anak murid yang cemerlang dalam subjek PSV SPM, lalu menyambung pelajaran mereka ke peringkat universiti dalam bidang seni dan kemahiran. Sama sepertiku, kerana semangat dan dorongan dari cikgu, hari ini aku sudah pun bergelar seorang guru, guru Pendidikan Seni Visual, sama sepertimu. Kerana aku terinspirasi dari hebatnya engkau guruku, aku mahu menyambung tugasmu dalam mendidik jiwa anak-anak seterusnya, menjadi insan yang berguna. Engkau wanita hebat. Mana mungkin seorang guru wanita yang sanggup dan mampu untuk melatih dan membimbing murid-murid lelaki dalam kebudayaan dikir barat. Bagi aku, ia sangat mustahil untuk dilakukan oleh seorang guru wanita. Engkau pernah bercerita padaku, hari pertama engkau ditempatkan di sekolah di negeri Kelantan, engkau diamanahkan atau dengan kata lain, 'dicabar' untuk melatih dan membimbing kumpulan dikir barat sekolah yang pada waktu itu, kumpulan tersebut baru ditubuhkan. Dalam jiwamu, bercampur baur pelbagai perasaan. Namun kerana tugas, engkau menerimanya dengan hati yang lapang serta yakin bahawa Tuhan memberikan sesuatu hal itu kerana Dia tahu kita mampu lakukan. Amanah yang diberikan tidak sesekali engkau sia-siakan, bahkan memberikannya dengan sepenuh jiwamu. Tidak mustahil, kini kumpulan dikir barat yang dipimpin olehmu sudah tersohor di seluruh negara. Pernah dinobatkan juara pertandingan dikir barat peringkat kebangsaan, banyak kali juga menjadi johan di peringkat negeri. Tidak terkira lagi dengan persembahan-persembahan yang dijemput khas di majlis-majlis besar yang melibatkan institusi diraja serta pemimpin-pemimpin negara. Tak kira kemana kamu pergi, nama kumpulan dikir baratmu dicanang orang, kagum dengan jurulatihnya hanyalah seorang wanita yang bergelar guru seni. Aku pernah mengikuti satu program di salah sebuah sekolah rendah di negeri Kelantan, aku terdengar perbualan cikgu-cikgu di sekolah tersebut tentang seorang guru wanita yang menjadi jurulatih kumpulan dikir barat sekolah dan berjaya membawa kumpulan tersebut ke peringkat tinggi. Saat itu juga aku menumpang bangga, calang-calang orang yang mampu menjadi hebat sepertimu. Engkau ibu hebat. Ya, engkau bukan sahaja seorang guru dan wanita yang hebat. Engkau jua seorang ibu yang hebat, mempunyai lima orang cahaya mata. Guru yang hebat bukan sahaja melahirkan karya yang hebat, tetapi juga melahirkan anak-anak yang hebat. Kelima-lima anakmu itu kau didik mereka dalam semua bidang akademik. Dari mereka kecil lagi, engkau 'angkut' kesemuanya untuk bersama-samamu menyiapkan kerja-kerja disekolah pada waktu cuti dan hujung minggu. Dari situ, anak-anakmu belajar berkarya, menanam minat dan cita-cita dalam bidang seni. Tidak hairanlah, kesemua anak-anakmu kini memegang ijazah dalam bidang Pendidikan Seni Visual dan 'Art & Design'. Bakat dan kehebatanmu dalam bidang seni kini diwarisi oleh darah dagingmu yang akan menyambung semangatmu dalam memartabatkan kesenian dan kebudayaan agar tak lapuk dek hujan, tak lekang dek panas. Walau dihujani pelbagai tohmahan, engkau berjaya buktikan pada dunia, bahawa ilmu itu luas dan tidak bersempadan. Dalam apa jua bidang yang kita ceburi, andai kita punya matlamat yang tinggi, diiringi usaha yang jitu, kejayaan pasti milik kita. Besarnya perjuanganmu, pastinya terbalas kebaikanmu kelak. Ya, engkau telah pun bergelar Guru Cemerlang Pendidikan Seni Visual dan engkau layak untuk gelaran itu kerana engkaulah guru, wanita, dan ibu yang hebat. Hari ini, aku menulis disini bukan kerana cikgu, tapi kerana ada ilmu dan kebaikan yang pernah cikgu tunjukkan padaku suatu masa dulu, kubawa bersama hingga ke akhir hayatku. Terima kasih kerana pernah menginspirasikan aku, memberi aku imaginasi tentang indahnya hidup, mengilhamkan aku dengan kata-kata semangat, dan mengajar aku dengan rasa cinta. Terima kasih, cikgu.