Nominees

Mdm Zarina binti Abdullah

From SMK Dato' Sri Amar Diraja

Mdm Zarina binti Abdullah's photo

Nominated by Nurul Aisyah Bashirah binti Erman Syah

Assalamualaikum dan selamat sejahtera semua. Guru yang ingin saya calonkan sebagai guru inspirasi dan luar biasa ialah Puan Zarina Binti Abdullah seorang pendidik yang sangat pandai bercerita dan juga kelakar. Semua pelajar memanggilnya ibu. Beliau sangat luar biasa kerana telah berjaya menukar persepsi beratus-ratus pandangan negatif pelajar terhadap subjek Sejarah yang paling membosankan, paling mengantuk kepada subjek yang paling disukai, ditunggu-tunggu serta subjek memberi iktibar dalam dalam diri saya walaupun saya telah tamat sekolah. Perkara paling menarik yang ingin saya ceritakan ialah mengenai buku nota Sejarah saya yang kini menjadi panduan dan rujukan pelajar junior di sekolah pada hari ini. Cikgu Zarina sentiasa mahukan pelajarnya membuat buku nota bercirikan PAK-21 yang cantik, tulisan mestilah kemas, penuh dengan peta minda, peta pelbagai alir, lukisan yang menarik, teknik mengahafal yang mudah serta beliau juga memberikan banyak gambar untuk kami mudah menghafal. Pada satu hari, cikgu mengajar kami tajuk Dasar Ekonomi Baru dalam Rancangan Malaysia ke-2. Cikgu Zarina telah menceritakan kisah penuh berinspirasi mengenai jasa Perdana Menteri Malaysia ke-7 iaitu Tun Dr Mahathir Mohammad. Cikgu membimbing kami menghasilkan satu nota yang dinamakan "Galeri Tun Dr Mahathir Mohammad". Melalui penceritaan cikgu serta gambar yang dilihat dari pelbagai buku rujukan mengenai Tun Dr. Mahathir saya sebagai generasi muda merasa sangat kagum, terpegun dan bangga kerana melalui Sejarah saya mengetahui bertapa besar jasa Tun Dr. Mahathir selama 22 tahun memacu Malaysia sehingga digelar "Harimau Asia". Cikgu Zarina memberitahu kami kebanyakan pembangunan yang kamu lihat di Malaysia hari ini lahir pada zaman Tun Dr. Mahathir seperti Menara Berkembar KLCC yang tertinggi di dunia tahun 1998, Litar F1 Sepang, Lapangan Terbang Antarabangsa KLIA, Pusat Pentadbiran Putrajaya, Menara Kuala Lumpur, Multimedia Super Coridor, Petronas, Kereta Nasional pertama Proton Saga, Sukan Komanwel 1998, rangkaian LRT dan Komuter serta banyak lagi telah dihasilkan pada zaman Tun Dr. Mahathir. Cara Cikgu Zarina menyampaikan cerita luar biasa ini telah membangkitkan aura yang sangat positif sehingga saya telah melukis sendiri potret Tun Dr. Mahathir di dalam buku nota. Cikgu begitu gembira dan tidak habis-habis memuji hasil kerja saya. Inspirasi dari sikap Tun Dr. Mahathir yang disampaikan oleh Cikgu Zarina telah tersemai dalam jiwa saya sehingga saya mendapat keputusan cemelang dalam SPM 2018 iaitu 9A. Sesungguhnya Cikgu Zarina ialah guru yang luar biasa kerana telah berjaya melahirkan ramai pelajar yang telah menjadi modal insan yang berjaya. Terima kasih Cikgu Zarina Abdullah atas segala usaha dan bakti yang dicurahakan. Saya mendoakan cikgu berjaya menginspirasikan lebih ramai lagi pelajar melalui cerita Sejarah tanah air Malaysia bumi yang sangat bertuah ini. Benarlah kata orang bijak pandai, seorang guru yang hebat pasti akan melahirkan pelajar yang hebat sepertinya!