Nominees

Mdm HANITA BINTI ISMAIL

From SMKA SHEIKH ABDUL MALEK

Nominated by MUHAMAD FIRDAUS BIN ABDUL HALIM

Beliau merupakan seorang guru di sekolah menengah. Sejak saya tingkatan 1 hingga 6, beliau tidak pernah mengajar saya di dalam kelas. Akan tetapi beliau mengajar saya erti kehidupan sehinggakan saya rapat dengan beliau seperti ibu sendiri. Mesra dengan panggilan “Umi” dalam kalangan anak didik, senyumnya mampu melegakan hati yang resah. Kelihatan kecil molek, tapi berbisa kata orang. Boleh dikatakan, apa yang pernah dikendalikan disekolah, “From Zero To Hero”. Titik perkenalan bersama Umi ketika awal saya melangkah ke tingkatan 1. Nasyid merupakan minat saya sejak kecil. Umi merupakan guru penasihat kumpulan nasyid di sekolah ketika itu dan pada tahun itu juga merupakan tahun pertama Umi memegang kumpulan nasyid sekolah. Dengan kemudahan yang sedikit pada ketika itu, Umi mengayuh perlahan-lahan mengatur langkah untuk bergerak lebih maju ke depan. Sebagai contoh, dalam usaha untuk memajukan kumpulan nasyid sekolah, Umi mencari beberapa orang jurulatih, mencari alat muzik, baju nasyid dan juga set mikrofon. Pada tahun 2011 kumpulan nasyid sekolah masih mentah kata orang. Dengan hasil penat lelah usaha Umi, setelah 9 tahun Umi memegang kumpulan nasyid sekolah, kini nama kumpulan nasyid sekolah telah berada di persada antarabangsa. Telah banyak kejayaan yang diukir dari peringkat zon, daerah, negeri, kebangsaan dan juga antarabangsa. Jika hendak diceritakan, terlampau banyak sumbangan Umi buat kumpulan nasyid sekolah termasuklah anak pelajar yang bergiat aktif dalam kumpulan nasyid sekolah. Selain nasyid, Umi juga pernah melatih pelajar yang menyertai pertandingan syarahan. Kebijaksanaan dan kegigihan Umi dalam menguruskannya mampu membawa kedua-dua orang pelajar lelaki dan perempuan ke pertandingan syarahan peringkat kebangsaan. Selain bidang kokurikulum, Umi sangat menitik beratkan akademik anak-anak nasyidnya. Jika keputusan peperiksaan keluar, belum sempat kami menerima keputusan, Umi orang yang pertama akan melihatnya. Sekiranya terlepas kelas tambahan, Umi mengambil inisiatif lain dengan mengadakan kelas tambahan khusus buat anak-anak nasyidnya. Selain akademik dan kokurikulum, kesihatan anak-anak nasyidnya juga diambil berat. Ketika ada antara kami yang demam, Umi turut membawa kami untuk mendapatkan rawatan di klinik. Ada juga Umi berhubung bersama ibu bapa kami. Kadangkalan Umi membawa kami makan diluar. Dalam kesibukan menguruskan kami untuk sesi latihan nasyid, demi tugas, Umi terpaksa meninggalkan seketika keluarga di rumah. Masa yang sepatutnya bersama keluarga pada waktu malam dan hujung minggu, Umi sanggup ke sekolah demi memastikan latihan nasyid berjalan dengan lancar. Umi bukan sahaja ibu di rumah, bahkan Umi juga merupakan ibu kepada anak-anak di sekolah. Umi juga pernah memegang kelab taekwondo sekolah. Komitmen Umi dalam meguruskan kelab taekwondo sekolah telah menyumbang kepada kejayaan ahli taekwondo sekolah sehinggakan ada yang terpilih untuk mewakili negeri. Ketika itu juga terdapat seorang pelajar yang ditawarkan untuk mewakili negeri Terengganu ke Sukan Malaysia (SUKMA) Di sekolah, Umi juga pernah memegang Majlis Perwakilan Pelajar (MPP). Dalam memegang MPP, Umi sangat banyak mengajar anak pelajar dalam bidang pengurusan. Dari kertas kerja, surat, dokumentasi, sijil dan sebagainya. Saya mula belajar dengan Umi dalam menguruskan kertas kerja ketika di tingkatan 3. Ketelitian Umi dalam bekerja sehinggakan ketinggalan satu noktah turut dapat dikesan. Kadangkala perlu dicetak sebanyak empat hingga lima kali angkara sedikit sahaja kesalahan. Tapi, itulah yang dilatih oleh Umi sehinggakan kini saya mampu menyiapakan kertas kerja, surat, laporan dan juga sijil dengan baik. Komitmen yang diberikan oleh Umi dalam bekerja sehinggakan Umi telah menerima beberapa anugerah. Secara kesimpulannya, sangat banyak pengorbanan yang telah diberikan oleh Umi kepada anak didiknya. Umi mampu menguruskan banyak perkara seperti sukan, akademik dan sebagainya. Impak yang diberi oleh Umi sehinggakan anak didiknya yang telah mempunyai anak, masih mencari Umi di sekolah dan di rumah. Keakraban Umi bersama anak didiknya bagaikan satu keluarga, anak didiknya dilayan bagaikan anaknya sendiri. Umi juga turut disegani oleh rakan guru yang lain. Ada juga antara anak pelajar yang menjadikan Umi sebagai idola. Umi juga telah mengajar anak pelajar tentang erti kehidupan. Bagaimana untuk menghadapi dan meyelesaikan pelbagai masalah dengan baik. Dengan umur Umi sekarang, Umi sering mengatakan bahawa Umi akan bersara tidak lama lagi. Semoga segala pengorbanan Umi kepada semua dibalas dengan kebaikan. Semoga Umi diberikan kesihatan yang berpanjangan dan bahagian disamping insan yang tercinta. Ustazah Hanita @ Umi adalah inspirasi saya. Guruku Inspirasiku.