Nominees

Mr Ulaganathan A/l Kaliappan

From Smk Taman Johor Jaya 2

Mr Ulaganathan A/l Kaliappan's photo

Nominated by Nur haziani Binti Mahadi

Bismillahirrahmanirrahim. Kisah inspirasiku ini aku mulakan dengan nama Allah yang maha pengasih lagi maha penyayang serta selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad s.a.w.. Semoga dengan izinNya, nukilan kerdilku ini dapat menyentuh hati hati nurani yang kudus nan suci agar dapat membaca dan menghayati dengan jiwa yang terang. Kisah inspirasiku ini aku nukilkan buat seorang guru, seorang pembina jiwa insan, seorang pendidik gemilang yang sudah 14 tahun berkecimpung dalam dunia perguruan. Ulaganathan A/L Kaliappan merupakan nama bagi permata bersinar ini. Berumur 39 tahun, tidaklah terlampau tua dan tidaklah terlampau muda, masih lagi ibarat bunga segar yang tiada henti memberi harumnya. Sosok yang tegap, tinggi, berkulit hitam manis, berambut agak kerinting dan berkaca mata merupakan imej bagi permata ini. Aku gelarkan guru ini permata kerana... Ah, di hujung nukilan ini akan engkau tahu di manakah wajarnya aku gelarkan beliau 'permata'. Permata ini dilahirkan pada 1 Disember 1980 di Raub, Pahang dan merupakan anak ke lima bagi pasangan bahagia Kaliappan dan Muniamah. Mendapat pendidikan awal di Tadika Sungai Petani dan kemudian meneruskan pendidikan di Sjk(t) Sungai Getah dan seterusnya menjejaki alam sekolah menengah di Smk Aman Jaya, Sungai Petani. Setelah menamatkan pengajian dengan jayanya di almamater, pencarian ilmu beliau tidak terhenti di situ sahaja. Beliau meneruskan lagi menuntut ilmu di institusi pengajian tinggi di Universiti Sains Malaysia (USM) dalam jurusan Pengajian Bahasa Melayu dan Kesusasteraan Bahasa Melayu. Permata ini memulakan tugas sebagai seorang guru Bahasa Melayu di Sekolah Menengah Kebangsaan Taman Johor Jaya 2 pada 2006. Guru Bahasa Melayu? Terkejut bukan? Nah! Beliau telah berjaya membuktikan bahawa seorang anak watan berbangsa India juga boleh menjadi pendidik bahasa kebangsaan kita iaitu Bahasa Melayu yang kini sedang mengorak langkah untuk berada setaraf dengan bahasa antarabangsa yang lain. Tak kenal maka tak cinta. Inilah perumpamaan yang sesuai bagi situasi guru ini. Semangatnya yang cukup kental dan sangat cintakan bahasa ibunda ini amat mengagumkan setiap insan yang mengenali beliau. Pengetahuannya dalam bahasa ibunda kita bukan hanya setakat suam suam kuku sahaja, akan tetapi meliputi setiap genap inci peraturan bahasa ini. Dari sekecil kecil perkara sehinggalah ke bahagian penulisan, beliau amat arif tentang bahasa ibunda ini. Bangsa India yang menjadi darah daging beliau sejak berada di alam rahim lagi  bukanlah penghalang untuk beliau mencurahkan bakti mendidik anak bangsa untuk mencintai dan mendalami bahasa ini. Aku mula mengenali beliau sejak aku menjadi pelajar tingkatan 1 di SMK Taman Johor Jaya 2 pada tahun 2014. Pada mulanya, aku hanya mengetahui beliau sebagai seorang guru disiplin yang paling digeruni di sekolah itu. Mana tidaknya. Sepanjang hari persekolahan, rotan yang berukuran kira kira 30 cm, tidak akan pernah lepas dari tangan beliau. Di mana sahaja beliau melihat berlakunya salah laku pelajar, beliau tanpa membuang masa akan terus memberi pengajaran kepada mereka. Bukanlah niat beliau ingin menggerunkan pelajar, tetapi beliau hanya ingin memastikan setiap pelajar yang keluar dari tempat didikannya akan menjadi sosok yang bermanfaat bukan sahaja kepada diri tetapi kepada seluruh penghuni alam. Menelusuri tahun demi tahun, sehinggalah umurku menginjak 16 tahun, aku ditempatkan di kelas 4 Cemerlang di mana ia merupakan kelas ketiga daripada lapan buah kelas bagi pelajar tingkatan 4. Aku masih lagi kekal di sekolah tersebut memandangkan aku tidak layak untuk mendapat tawaran dari mana mana sekolah berprestij tinggi disebabkan keputusan PT3 ku tidaklah begitu cemerlang dan hanyalah cukup cukup makan sahaja. Masih aku ingat, aku dan rakan rakan sekelasku diberikan jadual waktu bagi sesi persekolahan tahun ini. Kami cukup teruja ingin mengetahui siapakah guru guru yang bakal mengajar kami bagi setiap mata pelajaran. Sedang bebola mata kami menari nari di atas kertas segi empat yang penuh dengan kotak kotak hasil cetakan mesin pencetak berteknologi tinggi itu, telinga kami dijamah dengan, 'Wei. Cikgu Ulaga ajar kita BM! Habislah.' Ton kata kata yang tidak dapat dikenalpasti sama ada seronok mahupun gelisah kerana bakal bergurukan seorang guru disiplin yang paling digeruni abad ini, kelas kami riuh dengan bisikan bisikan dari setiap pelajar yang nyata terkejut dan tidak sangka sama sekali. Sedang dalam keriuhan yang ibarat tiada penghujung itu, kami dikejutkan dengan kehadiran gerangan yang disebut sebut tadi. Berbaju kemeja, berseluar slack hitam, membawa kertas kertas bm pastinya dan mengelek sebatang rotan, mulut mulut yang tadinya bising, kini diam seribu bahasa dan hanya bebola mata yang bergerak seiring dengan pergerakan guru itu. 'Bangun! Selamat pagi Cikgu Ulaga.' Ucap Zahin, ketua kelas yang baru dilantik tadi dan perintahnya dituruti para anak buah yang lain. Sesi pembelajaran BM kami pada hari itu dimulakan dengan pelajaran rumusan. Begitulah detik perkenalan antara kami dengan permata ini. Kelas yang pada mulanya hanya dihiasi dengan bunyi kipas siling berpusing, burung burung berkicauan, bebola mata yang bergerak gerak antara pelajar ibarat berkomunikasi tanpa suara, kini, kelas BM dipenuhi dengan gelak tawa yang tiada henti. 'Humor sense' yang ada pada permata ini menyebabkan kami amat menyenangi beliau. Kelas beliau yang lazimnya akan berlangsung pada waktu selepas rehat dan kadang kala pada waktu terakhir sesi pembelajaran, mata kami yang kuyu akan menjamah pemandangan beliau. Tetapi, sekalipun beliau tidak pernah marah seperti guru guru lain lazimnya. Beliau akan mengejutkan kami dari terus dibuai mimpi dek dibelai angin yang manja dengan lawak lawak beliau yang tidak pernah kering gusi. Kelas kelas beliau akan sentiasa diselang selikan dengan cereka cereka jenaka beliau. 'John, kalau awak main main, Spm nanti awak akan dapat sebiji telur.' Inilah ujarannya yang sentiasa bermain main di telinga kami. John merupakan nama samaran kepada rakan sekelasku. Beliau amat gemar memberikan nama samaran kepada kami. 'Kalau awak banyak makan, awak akan cepat mati.' Ujaran inilah yang sentiasa diulang ulang kepada kami. Walaupun jenaka ini sudah kedengaran sejak kami di tingkatan 4 lagi sehinggalah kami di tingkatan 5 ini, namun ia tetap mencuit hati kecil kami. Beliau bukan sahaja seorang yang lawak, tetapi beliau juga seorang lelaki yang berhati emas. 'Nanti kalau awak nak beli cat, mintak duit dengan saya. Tapi jangan beritahu siapa siapa.' Ujarnya dengan muka yang serius. Harga cat yang berharga melebihi rm100, beliau bayarkan. Sungguh murni hati beliau. Kelas kami yang diwarnakan dengan warna ungu bukanlah dari duit kami, tapi dari duit beliau. Pada waktu pagi pada hari kami ingin mengadakan jamuan akhir tahun bagi kelas kami, kami dikagetkan lagi dengan, 'Yau, nanti pukul 10 ikut saya pergi beli kek. Awak semua suka makan kek perisa apa? 'Chocolate cheese?' 'Chocolate indulgance' ?' Ujar beliau kepada ketua kelas kami, Kho Yong Yau sambil bertanyakan kami. Sungguh! Tiada apa lagi yang dapat kami ucapkan. Kami terkedu seribu bahasa melihat layanan murni beliau kepada kami tanpa sedikitpun membanding bezakan kami. Beliau melayan kami sama rata, tiada langsung pilih kasih. Apabila ditanya kepada Yong Yau tentang kek 'Chocolate indulgance' Secret Recipes yang beratnya kira kira 2 kilogram itu,' Harga kek ni RM100. Cikgu siap belanja saya minum dekat Old Town White Coffee. Dia sangat baik!' Ujar Yong Yau dengan penuh teruja sampaikan matanya berair. Berasa kagum mungkin. Bukan itu sahaja. Beliau juga amat gemar bersedekah. Pernah sekali beliau tempah 100 bungkus nasi lemak ayam berempah yang berharga RM4 sebungkus buat diberi makan kepada anak anak pendidikan khas. Beliau juga gemar membelanja para rakan rakan guru makan. Usah ditanya berapa jumlah wang ringgit yang sudah beliau laburkan kerana sudah pasti tidak terhitung jumlahnya. Beliau tidak pernah 'berkira' walaupun sekali dengan sesiapa pun. Sungguh, tiada madah lagi yang boleh aku coretkan untuk menggambarkan mu. Teramat beruntunglah insan insan tersayang yang berada di tempat yang paling istimewa di lubuk hatimu. Beruntunglah mereka mempunyai gerangan yang murni akhlak tiada tandingan. Cikgu, Sesungguhnya, nukilan kecilku ini tidaklah mampu merumuskan segala keperibadian murnimu. Sungguh, segala perilakumu amat menginspirasikan setiap jiwa yang dekat denganmu mahupun yang hanya baru sekali bertatap mata. Kini aku percaya bahawa engkau mendapat didikan agamamu yang cukup sempurna sehingga engkau mampu menerampilkan sosok jiwa yang amat mantap sekali. Cikgu, Setiap dari apa yang engkau ujarkan, setiap dari lawak yang engkau cerekakan, percayalah, ianya penuh dengan ilmu dan titip pesan yang amat bermakna buatku; pelajarmu yang kerap menyentuh hatimu dengan kekecewaan. Cikgu, Tiada apa yang mampu aku lakukan untuk balas jasamu. Hanya seulas doa yang mampu aku titipkan buatmu agar engkau sentiasa berada dalam rahmat Tuhanmu. Permata, Semoga engkau terus bersinar memberi kilauan kepada seisi semesta. Semoga engkau terus teguh melawan onak dan duri serta ranjau pidana sebagai seorang pendidik. Dan semoga engkau terus memberikan baktimu kepada segenap umat tanpa jemu dan bosan.              Permata, terima kasih atas segala galanya.