Nominees

Mr MAZLAN BIN MOHAMED

From SEKOLAH MENENGAH KEBANGSAAN TUMPAT

Mr MAZLAN BIN MOHAMED's photo

Nominated by AHMAD KHATIB SYARBINI BIN AB RAZAK

“Tak kenal maka tak cinta” Itulah ungkapan yang membuatkan aku mengenali seorang insan istimewa dalam hidup aku. Namanya masih segar dalam ingatan aku. Mungkin kita sering dengar ungkapan tersebut tetapi sejauh manakah kita boleh mengerti makna tersiratnya serta merasai sendiri cintanya itu. Pada mulanya, nama beliau sangat asing bagi aku semasa berada di menengah. Ketika aku berada di tingkatan 1,2,dan 3, aku hanya melihat beliau berada di barisan hadapan sahaja semasa perhimpunan mingguan. Walaupun hanya memegang jawatan sebagai pentadbir iaitu Guru Kanan Teknik Vokasional (GKTV) di Sekolah Menengah Kebangsaan Tumpat, tetapi aku tidak mengenalinya sangat mendalam. Hal ini demikian kerana beliau ialah guru menengah atas yang mengajar mata pelajaran ekonomi di tingkatan 4 dan 5. Jika bertemu di kawasan sekolah sekalipun, aku hanya memberikan senyuman dan kadang kala memberikan salam kepada beliau. Selepas mendapat keputusan PT3 2016, aku ditawarkan ke kelas aliran sains ketika itu. Aku hampir dilema seminggu untuk terus berada di dalam kelas itu atau pun tidak. Aku sebenarnya lebih cenderung ke arah aliran perakaunan dan ekonomi. Sehubungan dengan itu, semasa minggu orientasi Tingkatan 4, Cikgu Mazlan yang menyampaikan maklumat tentang aliran di Tingkatan 4. Semasa minggu orientasi, beliau menegaskan bahawa jika kita tidak mampu atau tidak minat kepada aliran tersebut, masih sempat untuk menukarkannya. Terdetik dalam diri aku untuk menukar aliran sains kepada aliran perakaunan. Hari terakhir minggu orientasi, aku pergi berjumpa dengan beliau. Aku bertanya tentang perkara tersebut. Beliau memberitahu yang aku boleh menukar aliran tetapi dengan kebenaran pengetua. Itulah kali pertama aku bercakap dengan beliau. Sedikit gagap dan sangat asing. Tahun 2017 ialah tahun pengenalan aku dengan beliau. Beliau mengajar aku mata pelajaran ekonomi. Hari pertama beliau mengajar, aku beranggapan bahawa guru ini biasa-biasa sahaja. Maklumlah guru menengah atas, masih tidak kenal secara terperinci. Selama setahun beliau mengajar aku, hubungan kami masih tidak erat, tetapi beliau sudah mengenali aku kerana aku adalah salah seorang pelajarnya yang menyumbang A bagi subjek ekonominya. Sifat penyayang, penyabar, komited, kompeten, baik hati, tekun, sporting, dan memahami yang tersemai dalam dirinya telah menarik minat aku untuk mengenalinya lebih mendalam. 2018 .Tahun yang paling penting bagi aku iaitu peperiksaan SPM. Tahun itu juga tahun pengenalan aku dengan beliau semakin erat dan rapat. Satu hari pada awal tahun, beliau ada memberi pesanan, jika kalian mempunyai masalah sama ada di sekolah, di rumah, dalam pembelajaran, apa-apa sahaja, boleh kongsi bersama beliau. Insya-Allah beliau boleh bantu. Terdengar beliau menyatakan sebegitu, aku sebenarnya memang ada masalah pembelajaran di rumah ketika itu. Aku tidak dapat fokus untuk belajar di rumah kerana ada sedikit gangguan. Aku mengambil keputusan untuk ke biliknya untuk berkongsi masalah ini kepadanya. Beliau berlapang dada untuk mendengar dan sedia untuk membantu aku. Semasa program konsultasi bersama ibu bapa selepas peperiksaan bulan Mac, beliau berjumpa dengan ayah aku dan memberi peringatan supaya menyediakan tempat pembelajaran yang aman dan kondusif kepada aku. Aku terkejut apabila beliau menyatakan sedemikian di hadapan ayah aku. Ini menunjukkan bahawa beliau sangat mengambil berat tentang pembelajaran aku di rumah. Beliau juga menambah bahawa aku mempunyai potensi untuk mendapat keputusan yang cemerlang dalam SPM. Sejak hari itu, ayah aku sangat mengambil berat tentang tempat dan masa pembelajaran aku di rumah. Bermula pada bulan Mac 2018, hubungan aku dengan Cikgu Mazlan menjadi lebih erat dan sangat rapat. Pada mulanya aku memang tidak minat dengan subjek ekonomi, tetapi disebabkan oleh sifat mulia yang ditunjuk olehnya membuatkan aku lebih suka dan minat kepada subjek tersebut. Oleh itu, jika ada satu soalan ekonomi sahaja yang aku tidak faham, aku akan terus ke biliknya. Walaupun beliau sangat sibuk dengan kerjanya sebagai pentadbir, tetapi beliau sanggup meluangkan masa untuk membantu aku. Beliau juga menyediakan tempat belajar untuk aku di dalam biliknya supaya aku dapat belajar dengan selesa. Beliau membenarkan aku belajar di dalam biliknya jika ada masa lapang. Setelah waktu persekolahan tamat pula, aku mesti akan berjumpa dengan beliau untuk menanyakan soalan ekonomi atau aku meneman beliau selesaikan tugasannya. Beliau sering membantu aku bukan sahaja dalam subjek ekonomi, malah semua subjek, ataupun memberi sedikit nasihat supaya bersungguh-sungguh dalam menuntut ilmu. Jika aku mengalami tekanan dalam pembelajaran di sekolah, beliau ialah guru yang selalu ada untuk mendengar masalah aku. Di samping itu, pelbagai kisah hidupnya dikongsi kepada aku terutamanya semasa beliau bergelar seorang murid di zaman persekolahan, mahasiswa di universiti dan sehinggalah beliau berjaya. Aku boleh katakan bahawa beliau seorang pelajar yang tidak mudah putus asa. Dilahirkan dalam keluarga yang serba kekurangan, seterusnya belajar bersungguh-sungguh untuk mengubah masa depan beliau. Setiap cerita yang dikongsi, aku akan ambil sebagai iktibar dan penyuntik semangat agar aku juga belajar lebih bersungguh-sungguh sama seperti beliau. Boleh dikatakan setiap hari aku akan ke biliknya sama ada waktu pagi, petang, atau waktu tamat persekolahan. Bukan sahaja untuk belajar malah tempat untuk mendapatkan nasihat, kata-kata semangat, kauseling, dan juga ilmu yang berguna. Oleh sebab hubungan kami sangat rapat dan sifat kebapaan yang ditunjuk olehnya, aku lebih selesa memanggilnya “Abah Mazlan”. Tahun 2018 ialah tahun terakhir Abah mengajar subjek ekonomi kerana subjek ekonomi tiada lagi bagi tahun 2019. Oleh itu, Abah sangat berharap pada tahun 2018 ini, akan ada anak muridnya yang menghadiahkan A+ kepada beliau. Keputusan SPM 2017, Abah sangat kecewa kerana hampir 60 orang daripada pelajarnya, hanya 2 orang sahaja yang mendapat A- serta nilai gred purata (NGP) ialah 6.99 sahaja. Jadi, aku bertekad untuk memberikan A+ kepada Abah supaya beliau dapat tamatkan pdpc ekonominya dengan sukses. Alhamdulillah syukur kepada Allah SWT kerana aku dapat A bagi subjek ekonomi pada setiap peperiksaan penggal. Oleh itu, Abah menaruh harapan kepada aku di SPM nanti. Aku akui, Abah Mazlan salah seorang guru yang paling bersungguh-sungguh untuk melihat anak didiknya berjaya. Abah tidak pernah mengerti penat lelah dalam mengajar kami. Walaupun Abah sudah berusia hampir 60 tahun iaitu 58 tahun dan semua rambut, misai, janggut, serta keningnya telah bertukar warna putih, beliau sanggup korbankan masa rehatnya untuk bersama kami bagi menghadiri ke kelas tambahan hari jumaat dan sabtu. Biasanya guru yang telah menginjak usia 50-an, segelintir guru sahaja yang mengadakan kelas tambahan hari Jumaat lebih-lebih lagi pada waktu petang. Selain itu, guru yang bergelar bapa kepada empat orang anaknya ini dan juga atuk kepada cucunya, sanggup korbankan masa rehat beliau pada waktu malam untuk menjayakan kelas elit malam. Sepatutnya Abah perlu rehat dan meluangkan lebih masa bersama keluarga, tetapi Abah masih utamakan kami berbanding keluarganya. Walaupun Abah terpaksa memakai alat pembantu pendengaran kerana mengalami masalah pendengaran, tetapi hal ini tidak menghalang beliau untuk terus memikul tanggungjawabnya sebagai seorang pendidik. Sehari sebelum peperiksaan SPM subjek ekonomi, aku telah pergi ke rumahnya untuk menanyakan beberapa soalan ekonomi. Sebenarnya kami telah adakan tuisyen selama 3 hari tetapi aku lebih suka untuk belajar dengan abah secara personal. Malangnya hari itu pada 5 Disember, cuaca hujan telah menyebabkan aku terkandas di rumahnya. Oleh itu, Abah menyuruh aku supaya bermalam di rumahnya sahaja. Pada mulanya aku menolak tetapi aku tiada pilihan lain. Isterinya juga menerima kedatangan aku dengan baik. Kebetulan anak-anak mereka tiada di rumah kerana ada yang sudah kahwin dan berada di perantauan. Sehari bersama keluarga Abah Mazlan sangat bermakna bagi aku. Abah dan isterinya melayan aku seperti anaknya sendiri. Pada malam itu, aku dengan Abah Mazlan mengulangkaji subjek ekonomi kerana esok adalah peperiksaan ekonomi SPM. Pada malam itu juga, aku hadiahkan Abah senaskhah Al-Quran sebagai tanda terima kasih kepada Abah kerana selama 2 tahun mengajar aku. Berkat daripada seorang insan yang bergelar guru, kebanyakkan soalan yang keluar dalam soalan SPM ekonomi sama sahaja dengan soalan yang kami berbincang pada malam itu. Dengan nasihat dan sokongan daripada Abah Mazlan, prestasi aku semakin meningkat. Peperiksaan pada bulan Mac aku hanya memperoleh 5A, dan meningkat kepada 7A pada pertengahan tahun, seterusnya berjaya memperoleh 8A dalam peperiksaan percubaan SPM. Pada 14 Mac 2019, keputusan peperiksaan SPM 2018 diumumkan, Alhamdulillah aku telah mendapat 5A+ 2A 1B 1C. Setelah dipanggil untuk menerima slip di atas pentas, subjek pertama yang aku lihat ialah ekonomi. Alhamdulillah syukur kepad Allah SWT kerana tercetak jugak “CEMERLANG TERTINGGI” untuk subjek ekonomi. Aku gembira kerana dapat hadiahkan A+ kepada Abah Mazlan. Sejujurnya, aku telah menganggap beliau seperti abah aku sendiri walaupun kami tiada pertalian darah. Aku masih ada ayah di rumah, tetapi Abah Mazlan ialah ayah aku di sekolah. Bagaimana beliau bagi nasihat kepada aku, aku menerimanya seperti nasihat ayah aku sendiri. Aku taat dan hormat kepada beliau sama seperti ayah aku sendiri. Di sekolah, sudah sedia maklum hubungan kami berdua seperti seorang ayah dan anak. Sebut sahaja nama “Mazlan”, aku pasti akan tersenyum. Beliau ialah insan yang ketiga paling penting dalam hidup aku selepas ibu bapa aku. Cikgu Mazlan ialah guruku, ayahku, dan sahabatku di sekolah. Abah Mazlan ialah satu-satunya guru yang aku pernah ada yang melayan anak muridnya seperti anaknya sendiri. Bukan bermaksud untuk mengemis kasih sayang tetapi hubungan guru dengan anak murid boleh diibaratkan seperti ibu bapa dan anaknya. Setiap hari, aku mesti berjumpa dan melihat wajahnya yang ceria bagi mendapatkan semangat untuk belajar. Jika Abah tidak hadir ke sekolah, aku akan terus menghubunginya. Pada mulanya, cita-cita aku ialah sebagai ahli ekonomi, tetapi cita-cita aku berubah kepada seorang pendidik sama seperti Abah Mazlan. Sekarang ini aku dalam proses untuk mengejar cita-cita yang disyorkan oleh Abah. Insya-Allah dengan berkat doa ibu ayah dan Abah Mazlan. Kesimpulannya, Abah Mazlan telah meninggalkan kesan yang positif dalah hidup aku. Abah selalu ada untuk aku bagi mendengar kisah hidupku. Walaupun aku nampak ceria di sekolah, tetapi hakikatnya pelbagai masalah aku hadapi. Abah Mazlan sahaja tempat untuk aku meluahkan segala-segalanya. Aku lebih selesa apabila bersamanya. Selepas tamat persekolahan, kami masih lagi berhubung melalui whatapps untuk bertanyakan khabar dan aku juga akan ke sekolah untuk berjumpa dengan beliau. Daripada seorang yang asing, sekarang Abah Mazlan telah menjadi seorang yg sangat bermakna dalam hidup aku. Aku bersyukur kerana Allah SWT menghantar beliau ke dalam hidup aku. Oleh itu, aku sudah faham dan merasai sendiri cinta daripada ungkapan “tak kenal maka tak cinta”. Itu saja kisah aku tentang guru inspirasiku ; Abah Mazlan.