Mdm Zaharah Binti Mohd
From Sekolah Menengah Kebangsaan Seri Ampangan
Nominated by Muhammad Zaqwan Bin Yusuf
Guru Inspirasiku Guru ialah satu ikon yang sangat sinonim dengan alam pendidikan. Guru ialah insan yang sanggup berdiri berjam-jam lamanya dan sabar dengan cara begitu untuk sepanjang usia perkhidmatannya. Liur basah dan berlidah fasih seorang guru mampu menuturi anak didiknya dengan kalimat hikmah dan menuangi mereka ilmu pengetahuan sebagai suluh masa depan. Kepada anak-anak didik, guru apabila tiada dicari, namun apabila ia hadir terasa pula kerenahnya. Demikianlah guru insan yang kadang-kadang dibenci tetapi rindu. Seorang guru mampu melahirkan insan yang hebat seperti arkitek masa depan, pembina bangsa dan pencetus tamadun. Aku mempunyai seorang guru yang amat tegas dalam mengajar tetapi hatinya sangat murni dan baik terutama kepada semua anak didiknya malah terhadap rakan-rakan guru beliau yang lain. Beliau telah menjadi inspirasi ramai murid di sekolah khususnya pelajar kelas aliran agama. Aku merupakan bekas murid kelas aliran agama SMK Seri Ampangan, Seremban, Negeri Sembilan. Beliau senang dipanggil dengan gelaran Ustazah Zaharah seorang yang tegas tetapi sangat ceria dan sporting ketika mengajar kami. Semangat yang ada pada beliau tidak ada pada guru yang lain. Beliau seorang guru Bahasa Arab dan Pengajian Islam. Beliau mengajar aku daripada tingkatan 1 sehingga tingkatan 3. Pengajian yang dibawa oleh beliau ketika mengajar aku dan rakan yang lain amat aku kagumi. Secara jujurnya aku merupakan murid yang lemah dalam Bahasa Arab tetapi cara beliau mengajar amat menarik minat aku dan rakan yang lain dengan Bahasa Arab. Jujurnya beliau sangat tegas ketika mengajar, sesiapa sahaja yang tidak lengkap tugasannya pasti akan dimarahi dan didenda beliau. Walaubagaimanapun, ia tidak pernah mematahkan semangat dan keinginan kami dalam mempelajari Bahasa Arab. Tahun demi tahun, akhirnya kami menduduki peperiksaan PT3 pada 2015. Sebelum peperiksaan Bahasa Arab, ustazah sangat berperanan dalam memberi kami kefahaman 100% dalam subjek yang beliau mengajar. Kelas tambahan, bengkel, kelas bahasa arab yang diajar oleh tenaga pengajar luar, pelbagai lagi aktiviti bagi meningkatkan kefahaman kami dalam bahasa arab dilakukan beliau. Aku sangat terharu dan berterima kasih kerana dianugerahkan seorang guru yang bersungguh-sungguh ingin melihat anak-anak muridnya berjaya. Alhamdulillah, berkat usaha dan doa beliau, ramai yang dapat A dalam subjek beliau ketika keputusan PT3 diumumkan dan salah seorangnya aku. Bermula situlah aku semakin minat dalam Bahasa Arab. Aku meletakkan beliau sebagai murabbi yang hebat dan rujukan utama jika terdapat permasalahan dalam subjek Bahasa Arab. Beliau sangat rapat dengan aku. Beliau sentiasa memberi nasihat dan kata semangat kepada aku. Tidak pernah berhenti menasihati aku supaya berapa dalam bidang agama. Ketika di tingkat 4, pada asalnya aku seorang murid aliran sains. Tetapi setelah menerima nasihat dan pandangan beliau, aku tekad untuk menyambung dalam bidang agama walau hakikatnya aku sedar bahawa aku terpaksa meninggalkan guru yang sangat hebat dan aku kasihi kerana sekolah aku ketika itu tidak menawarkan bidang agama untuk peringkat SPM. Jadi, dengan amanah dan harapan yang tinggi daripada beliau juga ibu bapa aku, aku berpindah ke sekolah agama yang tidak jauh daripada situ. Berbekal ilmu bahasa arab dan agama yang telah dipelajari, aku bersungguh-sungguh belajar demi membanggakan beliau serta ibu bapa aku. Walaupun sudah berlainan sekolah, aku tetap merujuk beliau terutamanya dalam subjek bahasa Arab. Akhirnya, pada tahun 2017 aku berjaya mendapat 7A dan Alhamdulillah masih mengekalkan A dalam subjek bahasa Arab. Aku sangat bersyukur kerana daripada seorang murid yang sememangnya tidak pernah minat bahasa Arab, tetapi insan yang aku hormati ini mampu membuatkan aku sayang dengan bahasa Syurga ini. Kini, aku sudah melanjutkan pelajaran di Universiti Sultan Zainal Abidin dalam bidang Pengajian Islam. Sehingga kini, aku masih ingat segala ajaran yang diajar oleh guru-guruku khususnya yang diajar oleh Ustazah Zaharah. Sehingga kini aku masih meminati bahasa Arab walaupun pengkhususan aku bukan dalam bidang bahasa arab. Tidak dapat diakui lagi kehebatan beliau dan aku sangat hormati beliau. Aku harap, aku mampu jadi seperti dia yang baik, ceria, tabah serta kuat dengan karenah kami. Beliau sememangnya seorang guru yang otai dan hebat serta menjadi inspirasi kepada orang ramai. Aku bercita-cita untuk menjadi seorang pendidik seperti beliau, oleh sebab itu beliau menjadi sumber inspirasi terbesar buat saya sehingga kini. Segala kata-kata yang keluar daripada lidah lembut beliau, merupakan mutiara yang sentiasa membekali kami anak didik beliau bagi menyuluhi masa depan kami. Hadirnya beliau menjadi pemimpin, senyum tawa beliau menjadi penawar, marah dan bengis beliau sentiasa menjadi bekalan dan ingatan buat kami dalam menjadi insan yang lebih cemerlang. Aku bersyukur kerana sentiasa dianugerahkan guru-guru yang hebat. Aku takkan pernah melupakan jasa beliau yang pernah beliau curahkan serta akan membanggakan beliau suatu hari nanti. Terima kasih atas segalanya ustazah, saya sayang ustazah. Syukran ala kulli hal, ana uhibbukum hubban jamma!