Mr MAZLAN BIN ABU BAKAR
From Smk Agama Yan

Nominated by NUR ATHIRAH BINTI GHAZALI
Cikgu Mazlan bin Abu Bakar seorang guru matematik dan matematik tambahan. Guru ini banyak memberi inspirasi dan impak kepada kehidupan saya. Cikgu mengajar saya daripada saya tingkatan 1 hingga tingkatan 3. Matematik merupakan subjek yang paling saya alergik, menyampah dan tak suka. Saya tidak pernah mendapat markah yang "cantik" untuk subjek ini. Cikgu saya tidak pernah letih mengajar pelajar seperti saya. Saya menolak subjek ini kerana saya rasa subjek ini susah dan bosan. Sampai satu tahap saya pernah terfikir "siapalah yang mencipta matematik ni. Menyusahkan betul". Betul-betul tak suka matematik. Tingkatan 3, tahun yang sangat penting untuk saya. Saya mula menanam azam untuk mendapat straight A walaupun saya tahu matematik saya masih berada di low level. Suatu hari saya mendapat tahu cikgu saya mengadakan kelas bimbingan di rumah beliau. Saya memaksa diri saya untuk join kelas bimbingan cikgu saya walaupun pada hakikatnya saya memang tak mahu pergi. Kenapa? Sebab ianya kelas matematik. Dengan hati yang terpaksa saya pergi juga ke rumah cikgu saya untuk belajar matematik. Tempat yang dipilih untuk duduk ialah kerusi di tepi tingkap. Dengan harapan kalau kelas ni bosan boleh lah tengok-tengok keadaan di luar tingkap. Cikgu saya bersungguh-sungguh mengajar kami sama ada di dalam kelas mahupun di kelas bimbingan. Pelbagai kaedah cikgu saya guna untuk menarik minat kami semua. Saya bukan lah pelajar yang kerap bertanya secara terbuka apabila tidak faham tentang sesuatu topik. Cikgu saya sentiasa dapat mengesan jika pelajar-pelajarnya tidak faham. Seolah-olah cikgu saya ada pakai sensor. Hihihi... Cikgu sentiasa datang kepada saya dan tanya sama ada saya faham ataupun tidak. Jika saya tidak faham cikgu akan mengajar semula secara personal. Cikgu tidak akan marah saya jika saya tidak faham. Hasil kesabaran cikgu saya mengajar saya, lama kelamaan saya semakin faham subjek matematik. Gred semakin baik. Suatu hari di kelas bimbingan di rumah cikgu saya, saya terpandang satu frame gambar cikgu saya. Saya tidak bertanya apa-apa tentang gambar tersebut kerana saya bukan jenis yang banyak bercakap. Tiba-tiba cikgu saya memberitahu itu ialah gambar sewaktu cikgu belajar di University of Kentucky US. "Wahhhh hebatnya cikgu...belajar sampai oversea", itu yang saya cakap dalam hati. Dari situ saya pun berazam untuk belajar di luar negara seperti cikgu saya. Saya mula belajar bersungguh-sungguh. Tidak lagi malu untuk bertanya kepada guru. Di sekolah cikgu saya merupakan guru yang paling sibuk kerana beliau merupakan ketua guru disiplin. Walaupun cikgu sentiasa sibuk tetapi cikgu tetap tidak menolak untuk mengajar saya jika saya pergi nerjumpa cikgu pada waktu rehat. Tiba masanya musim peperiksaan. Saya tidak sangka saya menjadi top scorer untuk subjek matematik. Dari situ saya mula merasai bahawa matematik ialah subjek yang boleh dikuasai oleh semua orang. Bayangkanlah pada mulanya saya pelajar yang selalu mendapat gred yang rendah untuk subjek ini boleh mencapai tahap top scorer. Sesuatu yang diluar jangkaan saya. Saya mula rasa yakin dengan diri sendiri. Cikgu saya sentiasa membimbing saya tanpa mengeluh dan tanpa rasa jemu. Keyakinan saya untuk mengejar straight A kembali menyala. Saya mula rasa yakin terhadap subjek matematik. Keputusan PMR diumumkan. Alhamdulillah saya cemerlang. Kejayaan saya banyak didorong oleh ibu bapa saya dan cikgu saya. Mendapat A dalam matematik sebenarnya merupakan bukti kehebatan cikgu saya mengajar dan membimbing saya daripada seorang pelajar yang lemah matematik kepada pelajar yang berada di level yang tinggi. Terima kasih cikgu.... Saya tidak berhasrat untuk melanjutkan pelajaran ke sekolah berasrama penuh walaupun saya mendapat tawaran untuk melanjutkan pelajaran ke sekolah tersebut. Saya ingin terus mencipta kejayaan di sekolah saya. Sebenarnya saya tidak mahu pergi ke sekolah lain kerana saya tidak yakin ada guru lain yang sehebat cikgu saya. Salah seorang daripada sahabat saya memujuk saya untuk melanjutkan pelajaran ke sekolah berasrama. Akhirnya saya mengambil keputusan untuk melanjutkan pelajaran di salah sebuah sekolah teknik di alor setar. Kenapa saya menolak tawaran untuk sambung belajar di sekolah berasrama penuh dan sanggup melanjutkan pelajaran di sekolah teknik? Sebenarnya sekolah teknik boleh pulang ke rumah 2 minggu sekali berbanding sekolah asrama penuh sebulan sekali. Jadi perancangan saya ialah setiap kali saya pulang ke rumah saya ingin pergi ke kelas bimbingan cikgu saya dengan lebih kerap. Itulah yang saya rancang dalam fikiran saya. Setibanya di sekolah tersebut, cara belajar lain daripada sekolah biasa. Saya tiada masalah untuk sesuaikan diri. Cuma....saya agak bermasalah dengan suatu alien yang wujud di sekolah itu, iaitu matematik tambahan. Atau lebih popular dengan panggilan addmath. Lagi sekali saya bertanya "siapalah yang mencipta addmath ni...menyusahkan betul". Bermula lah episod saya ting tong ting tong dalam addmath. Saya terus teringat kepada cikgu saya. Disitu terdetik dalam hati saya "kalau lah aku boleh pindahkan cikgu aku datang mengajar di sekolah ni dan ajar aku addmath kan bagus". Saya berazam tidak mahu hidup dalam keadaan tidak faham addmath. Jadi setiap kali balik bercuti di rumah saya akan pergi belajar addmath di rumah cikgu saya. Cikgu saya tidak pernah menolak untuk mengajar saya secara personal walaupun saya tahu cikgu saya sibuk. Betapa sabarnya cikgu saya mengajar saya. Tingkatan 5, SPM. Tahun yang menentukan segala-galanya untuk masa depan. Cikgu saya tidak jemu bimbing saya secara personal walaupun cikgu saya perlu membimbing pelajar-pelajar kelas bimbingannya. Adakalanya saya datang belajar addmath dirumah cikgu sewaktu malam. Kadang-kadang cikgu kelihatan letih tapi cikgu tak pernah cakap yang cikgu letih. Cikgu tetap mengajar saya dengan penuh bersemangat. Cikgu mengajar saya cara mudah untuk memahami konsep-konsep addmath. saya semakin menguasai konsep-konsep addmath. Spm pun tiba. Keputusan di umumkan. Alhamdulillah keputusan saya baik. Cikgu saya telah datang ke rumah saya untuk melihat keputusan spm saya. Belum sempat saya pergi ke rumah cikgu saya untuk memaklumkan keputusan spm saya, cikgu saya terlebih dahulu datang ke rumah saya. Itulah semangat seorang pendidik. Apabila murid memerlukan ilmunya, beliau memberikam sepenuh ilmunya tanpa syarat. Apabila murid berjaya merekalah orang pertama yang rasa bangga. Kejayaan saya bukan disebabkan usaha saya 100%. Usaha saya hanya sedikit. Kejayaan ini sebenarnya banyak datang daripada usaha cikgu-cikgu saya. Saya ditawarkan untuk melanjutkan pelajaran ke luar negara (united kingdom) atas tajaan sebuah syarikat swasta gergasi di Malaysia. Impian saya tercapai. Impian yang diinspirasikan oleh cikgu saya pada ketika saya berumur 15 tahun. Pada ketika itu saya terpaksa menolak tawaran tersebut kerana saya telah melanjutkan pelajaran dibawah tajaan MARA. Surat tawaran untuk belajar di luar negara sampai ke rumah saya setelah 2 minggu saya belajar di salah satu institusi pengajian tinggi MARA. Sedih? Kecewa? Tak langsung. Bagi saya, kita perlu berusaha untuk jadi yang terbaik berbekalkan dengan apa yang kita ada sekarang. Memang itu satu-satunya impian keemasan saya untuk melanjutkan pelajaran ke luar negara tetapi saya yakin saya juga boleh berjaya disini. Perjalanan yang panjang untuk menamatkan pengajian dengan sempurna. Setelah tamat pengajian saya ditawarkan pekerjaan sebagai jurutera. Lagi sekali suatu perjalanan yang panjang. Sekarang saya ialah guru matematik tambahan di salah sebuah MRSM di Malaysia. Terima kasih cikgu. Jasa dan pengorbanan cikgu membawa saya sampai ke tahap ini. Daripada seorang gadis kecil yang tidak suka langsung kepada matematik sehingga menjadi guru matematik tambahan. Sekarang pelajar-pelajar di seluruh Malaysia dapat merasai keajaiban sentuhan cikgu saya untuk matematik tambahan. Guru saya membimbing banyak pelajar di seluruh Malaysia dalam bengkel-bengkel matematik tambahan dan antara pelajar-pelajar yang pernah dapat merasai sentuhan magik guru saya ialah pelajar-pelajar sekolah saya. Saya pernah menjemput guru saya mengadakan bengkel matematik tambahan di sekolah saya. Saya sangat kagum melihat guru saya mengajar pelajar-pelajar saya dengan penuh bersemangat sama seperti guru saya mengajar saya dahulu. Saya rasa sangat gembira. Pelajar-pelajar saya tidak putus-putus memuji cara guru saya mengajar. Antara perkara yang mengejutkan saya ialah ada beberapa pelajar saya memberitahu saya cara saya memberi nota dan mengajar seakan-akan cara penceramah tersebut mengajar(iaitu cikgu saya). Saya hanya mampu tersenyum. Dalam hati saya berkata, nota-nota tersebut datangnya daripada penceramah di hadapam yang sedang mengajar kalian semua sekarang. Terima kasih infinity saya ucapkan kepada cikgu. Keberkesanan cikgu mengajar saya membuatkan pelajar-pelajar saya dapat menerima ilmu yang saya kongsikan dengan mereka dengan baik. Jasa cikgu terlalu besar terhadap saya. Sehingga sekarang saya masih meminta cikgu saya mendoakan untuk saya. Doa seorang cikgu itu berkat. Cikgu telah memberi saya inspirasi yang hebat. Suatu hari nanti saya juga ingin memberi inspirasi kepada pelajar-pelajar saya. Terima kasih cikgu. Ini saja yang mampu saya ucapkan. Saya tidak mampu membalas apa-apa walaupun satu huruf dan satu nombor yang pernah cikgu ajar saya. Saya hanya mampu mendoakan untuk cikgu dan keluarga cikgu sahaja.