Mdm Tan Lee Chien
From Sekolah Menegah Kebangsaan Saint Joseph , Kuching

Nominated by Farid Syahmi Zikry bin Shukri
Engkau... Bagai dian yang membakar diri, Laksana bintang, menghiasi cakerawala, Umpama samudera harapan.... Engkaulah kencana, kaulah ilhamku...kau, inspirasiku, kaulah guruku..... Saya merupakan seorang pelajar dari aliran sains yang menongkah, melawan arus demi menjadi salah satu bintang yang menyinar. Tanpa beliau, tak mungkin dapat saya lakukannya. Beliaulah yang menjadi salah satu tulang belakang dalam kehidupan saya-yang ada sisi tatkala seluruh dunia menentang diri ini. Beliaulah insan yang bernama Cikgu Tan. Kisah pertemuan kami telah tersurat di dalam Qada' & Qadar Ilahi kerana beliaulah yang menjadi guru kepada subjek kegemaran saya iaitu Bahasa Melayu ketika Tingkatan 4 dan 5. Pada mulanya, saya mengakui bahawa saya agak takut dan gerun akan beliau kerana beliau mempunyai air muka yang tegas dan ganas. Namun, setelah berpurnama berlalu, kami pun saling mengenali antara satu sama lain dan beliau bagaikan ibu kedua saya. Kebetulan juga tempat duduk saya di hadapan meja guru. Jadi, saya menjadi agak mesra dan rapat dengan guru mata pelajaran saya yang lain termasuklah beliau. Benar kata orang bahawa janganlah kita menilai seseorang daripada rupa tetapi menilai pada hatinya. Mengenali beliau, Cikgu Tan merupakan seorang guru yang mempunyai pakej yang serba lengkap. Baik hati, autoriatif, penyabar, ikhlas....petik sahaja mana-mana kata adjektif yang menggambarkan seorang guru yang baik, pasti beliau memilikinya. Saya amat mengagumi beliau kerana beliau seorang guru yang ikhlas. Jika terdapat sebarang ketidakpastian, beliau akan merujuk semula sumber maklumat yang sahih agar kami mendapat maklumat yang tepat. Dari situ saya dapat melihat keikhlasan beliau sebagai seorang guru. Saya juga turut terpesona dengan sifatnya yang penyabar. Cikgu Tan tidak mudah melatah dan melenting sesuka hati jika berhadapan dengan pelbagai rintangan terutamanya masalah disiplin pelajar. Saya teringat akan satu peristiwa apabila beliau menawarkan diri untuk menjahit tag nama pada baju seorang murid. Beliau melayani dan menjaga kami bagai menatang minyak yang penuh. Sering kali beliau menyatakan bahawa kami seharusnya dijaga seperti emas. Hal ini menzahirkan sifat keibuan yang dimiliki beliau. Beliau juga seorang yang tidak pernah memilih kasih atau memilih bulu. Cikgu Tan meladeni kami secara sama rata walaupun kami terdiri daripada bangsa yang berbilang. Oleh sebab itu, saya dan rakan sekelas amat menghormati dan menyanjungi beliau. Sesungguhnya kalimah-kalimah pujian dan sanjungan yang telah saya nyatakan itu masih tidak cukup untuk mencitrakan insaniah seorang insan yang bernama Cikgu Tan. Seperti guru-guru lain, Cikgu Tan melaksanakan tanggungjawabnya sebagai seorang guru dengan baik sekali. Namun, antara jutaan bintang yang menghiasi sawang malam beliaulah yang paling menyinar pada mata hati saya. Jasa dan pengorbanan beliau terhadap pelajar terutamanya saya amat berharga. Sebenarnya, walaupun saya berada di dalam aliran sains, jiwa dan raga saya bersemadi di dalam dunia sastera. Beliau pernah meluahkan rasa sangsi dan hairan tentang keberadaan saya di dalam aliran sains kerana beliau melihat kontradiksi antara saya dan rakan sekelas yang lain. Sesungguhnya langit tidak selalu cerah dan tidak semestinya kita akan menggapai apa-apa yang kita impikan. Saya terjerat oleh dua pilihan ibarat ditelan mati mak, diluah mati anak. Akhirnya, minat saya terhadap sastera terkambus dek simpang yang saya pilih. Walau bagaimanapun, beliaulah yang memberi sinar harapan kepada saya untuk mengikuti jejak mimpi. Jangan pedulikan cemuhan orang lain. Saya juga telah melihat satu persamaan antara kami berdua. Beliau juga dahulunya seorang pelajar sains yang akhirnya berubah angin ke aliran sastera sewaktu Tingkatan 6 kerana merasakan dirinya tidak sebati dengan dunia sains. Saat mendengar kisah hidup beliau semangat saya untuk menjejaki mimpi yang terpadam kini membara sehangat mentari yang membakar. Pada tahun lepas, beliau ada memberikan cadangan kepada saya untuk mengambil kertas Kesusasteraan Melayu jika saya mahu. Pada mulanya saya berasa sangsi dan tidak percaya akan kebolehan dan kekuatan diri. Namun, beliau telah memberi dorangan kepada saya pada saat itu. Beliau bercerita kepada saya bahawa sewaktu beliau berada di aliran sains, beliau tidak mengambil subjek Sejarah kerana tidak ditawarkan. Namun apabila beliau berubah aliran sewaktu Tingakatan 6, beliau terpaksa mengambil subjek Sejarah. Walaupun beliau tidak pernah mempelajari subjek itu sewaktu Tingkatan 4 dan 5 beliau mampu lulus dengan cemerlang. Kisah yang penuh inspirasi itu membuatkan saya yakin untuk mengambil kertas Kesusasteraan Melayu, walaupun ketinggalan 1 tahun. Meskipun beliau tidak mengajar subjek Kesusasteraan Melayu, beliau masih memastikan saya berada pada lorong dan jalan yang benar. Beliau laksana bintang yang menjadi petunjuk kepada pelayar. Beliaulah yang sering menyokong dan mendorong saya dalam mengecap cita-cita. Beliau yakin dan percaya akan kebolehan dan keupayaan saya dan jasa baik beliau terhadap saya amat meruntun nurani ini. Sesungguhnya, perkara yang telah dilakukan beliau kepada saya tidak mungkin dapat dibayar dengan wang ringgit mahupun segunung sahmura. Hanya Tuhan yang mampu membalasnya. Segala kemanisan dan kasih sayang yang ditaburkan akan saya pahat pada hati ini hingga usia bertukar kencana- sehingga ke akhir waktu. Kaulah inspirasiku, Kaulah maestroku...Engkaulah guruku Terima atas segalanya.....