Nominees

Mrs Erma Farida Binti Abu Hasan

From Sabk Ma'ahad Ar-Ridhwan

Mrs Erma Farida Binti Abu Hasan's photo

Nominated by Muhammad Zaid Bin Bakar Redin

Guru Inspirasi Saya “Guru itu ibarat kayu yang terbakar, dia menjadikan dirinya abu tapi semua orang menjadikannya terang” Beliaulah guru yang tidak dikenali namanya tetapi dekat dihati anak-anak muridnya. Sungguh beliau tidak terkenal di media sosial tetapi kehadirannya cukup disenangi oleh orang orang disekelilingnya. Beliaulah guru yang dedikasi di sekolah atas segala sumbangannya tanpa mengira dari segi ilmu, wang, masa dan tenaga. Pulang dari rumah, beliaulah ibu, isteri, teman dan sahabat saya yang setia. Beliau yang dimaksudkan ialah Teacher Erma Farida Binti Abu Hasan. Bagi saya, beliaulah superwoman yang tidak pernah mengenal erti jemu dan penat. Baginya kehidupannya ibarat kayu yang terbakar, dia menjadikan dirinya abu tapi semua orang menjadikannya terang. Sungguh saya sebagai orang yang paling rapat dengan dirinya iaitu suaminya menyaksikan sendiri segala pengorbanannya dan kejayaannya dari masa ke semasa demi anak bangsa tercinta. Walaupun ditugaskan untuk mengajar Bahasa Inggeris di sekolah pedalaman di kawasan sawah bendang yang menghijau, tidak mematahkan semangat beliau untuk terus menabur budi pada anak-anak muridnya yang mempunyai latar belakang kehidupan yang susah. Sungguh mengajar dan mendidik anak-anak murid di kawasan luar bandar sangat mencabar jika dibandingkan mengajar di kawasan bandar yang mempunyai akses yang lebih mudah kepada segala kemudahan di bandar. Di sini sangat sukar untuk mendapatkan akses kepada internet kerana lokasi sekolah di kawasan pedalaman. Jadi, beliau telah memainkan peranan penting sebagai pembaca berita yang bergerak untuk menyampaikan segala informasi dan maklumat yang terkini berkaitan dunia pendidikan kepada anak-anak muridnya tanpa lelah dan jemu. Malah kehadirannya di dalam kelas sentiasa dinanti-nantikan oleh anak-anak muridnya. Bukan itu sahaja, beliau menghadapi cabaran yang hebat untuk menimbulkan kecintaan kepada Bahasa Inggeris kepada anak-anak muridnya. Sungguh, Bahasa Inggeris umpama Bahasa asing atau alien kepada mereka. Sungguh takut dan fobia mereka kepada Bahasa Inggeris. Bagi mereka, Bahasa Inggeris adalah subject killer di sekolah. Oleh sebab itu, selama 5 tahun berturut turut tidak pernah ada seorang pelajar pun yang mendapat straight A dalam Bahasa Inggeris kerana mereka hanya mendapat gred B sahaja dalam Bahasa Inggeris SPM. Ini menjadi cabaran buat beliau untuk mengajar Bahasa Inggeris buat kali pertama bagi kelas SPM pada tahun ini. Beliau sangat berharap dan bermimpi akan ramai lagi pelajar yang mendapat A bagi subjek Bahasa Inggeris pada tahun ini. Sebelum ini, beliau telah melahirkan ramai anak murid yang mendapat A dalam subjek Bahasa Inggeris dalam peperiksaan PT3. Jadi pada tahun ini, beliau ingin merealisasikan impian dan harapan bagi melahirkan lebih ramai anak-anak muridnya mendapat A bagi subjek Bahasa Inggeris. Bagi beliau, tiada yang mustahil dalam dunia ini. Oleh sebab itu, beliau berusaha menambah ilmu dan sentiasa mencari peluang untuk memajukan diri demi memberi manfaat yang banyak kepada anak-anak muridnya. Beliau sentiasa memikirkan idea-idea yang baru dalam bidang Pendidikan. Sungguh, impiannya menjadi nyata apabila beliau telah berjaya mencipta satu platform baru untuk menimbulkan minat anak-anak muridnya dalam Bahasa Inggeris. Beliau telah mencipta “InstaUrWriting” sebagai platform media sosial bagi membolehkan anak-anak muridnya belajar Bahasa Inggeris dengan cara yang lebih menyeronokkan. Atas inovasi beliau, beliau telah mendapat tempat ketiga dalam pertandingan International Invention & Innovative Competition Iniic 2018. Sungguh saya sendiri menyaksikan penat lelah beliau mencari idea-idea yang bernas serta berkorban masa dan tenaga demi merealisasikan impiannya untuk melihat lebih ramai anak-anak muridnya berjaya setanding dengan dunia luar. Walaupun beliau telah diamanahkan pelbagai tugas-tugas penting disekolah, antaranya Setiausaha SPM, ketua panitia Bahasa Inggeris, Ketua persatuan Bahasa Inggeris, guru kelas tingkatan 4 yang menjadikan beliau antara guru yang ‘sibuk’ di sekolah. Namun, tugas-tugas hakiki di sekolah tidak menghalang beliau untuk terus memberi sumbangan dan manfaat kepada masyarakat luar. Beliau merupakan seorang guru yang sangat dedikasi di mata saya. Pada waktu terluang, beliau dengan aktifnya menghadiri pelbagai seminar Pendidikan di seluruh negara. Beliau juga tidak lokek berkongsi hasil kajian beliau dalam bidang Bahasa Inggeris kepada masyarakat luar. Dengan niat untuk memberi, beliau juga aktif menjadi pembentang di dalam salah satu seminar Pendidikan antarabangsa yang dihadirinya iaitu International Conference On The Future Of Education 2018. Malah, hasil kajian beliau telah diterbitkan di dalam banyak artikel Pendidikan dan juga terpilih untuk diterbitkan dalam Paradigm Journal, edisi khas. Beliau sering berkongsi hasrat dan cita-citanya kepada saya, katanya, ‘untuk mendapat Pendidikan yang lebih baik, guru itu haruslah terlebih dahulu meningkatkan ilmu dalam dirinya, barulah dia boleh memberi kepada masyarakat luar’. Kecintaannya yang sangat tinggi dalam bidang Pendidikan telah mendorong beliau untuk sambung belajar Master dalam Bahasa Inggeris di UKM. Beliau sanggup menyambung pelajaran secara part-time semasa cuti sekolah di UKM hanya semata-mata untuk memberi yang terbaik buat anak-anak muridnya yang dahagakan ilmu darinya. Ketika guru-guru lain berehat di rumah dan bercuti bersama keluarga, beliau sanggup berulang alik dari Perak ke UKM Bangi demi menuntut ilmu. Beliau sanggup meninggalkan anak kesayangannya yang masih kecil bersama suami tercinta di rumah demi menyahut seruan menuntut ilmu untuk disampaikan kepada anak-anak muridnya. Saya sendiri menyaksikan betapa tungkus lumusnya beliau menuntut ilmu dan sanggup mengeluarkan duit dari simpanannya bertahun-tahun demi mencari ilmu yang sangat berharga. Ya, demi untuk mendapat ilmu, beliau sanggup berkorban duit dan masa bersama keluarga yang dikasihinya.Beliau juga bersengkang mata menuntut ilmu dan mengulangkaji pelajaran di rumah. Sehinggakan guru-guru di sekolah berasa hairan, waktu bilakah beliau berehat kerana bagi mereka , beliau mampu menguruskan masa dengan baik dengan melakukan tugas-tugas disekolah dengan cemerlang dan mampu untuk menyambung pelajaran secara pengajian jarak jauh. Sungguh, tiada istilah jemu dan penat dalam dirinya. Malah, beliau kelihatan gembira dan bersemangat menuntut ilmu. Kejayaan beliau yang paling berharga apabila beliau berjaya mendidik anak-anak muridnya yang lemah dalam Bahasa Inggeris untuk menguasai Bahasa Inggeris dengan baik. Daripada takut dan malu untuk bercakap dalam Bahasa Inggeris, kini mereka sudah mampu berpidato di atas pentas speaker corner dengan yakin. Daripada tidak tahu menulis dan membaca Bahasa Inggeris, kini sudah mampu menulis dalam Bahasa Inggeris dan menyebut dengan sebutan yang baik. Beliau juga rajin mencungkil bakat dalam diri anak-anak muridnya dan berjaya membawa mereka untuk menyertai pelbagai pertandingan Bahasa Inggeris di peringkat daerah antaranya poem recitation, English scrabble dan lain-lain lagi. Maka tidak hairanlah baru-baru ini beliau diraikan di dalam majlis Aprisiasi PGB Dan Guru Dibimbing SIPartnert & SISC+ PPD Kerian. Beliau telah terpilih diatas pencapaian cemerlang Pdpc dalam program Transformasi Daerah Kerian 2019. Sungguh beliau umpama lilin yang membakar diri demi menerangi alam. Beliau umpama matahari yang menyinar di seluruh alam di waktu siang dan menjadi bulan yang menerangi bumi di waktu malam. Begitulah beliau di hati saya dan anak-anak murid yang mengenalinya. Sungguh banyak jasa dan perngorbannya yang tak mampu saya ceritakan. Cukuplah sedikit cerita inspirasi yang saya kongsikan dari lubuk hati saya. Moga segala impian dan harapan beliau untuk melihat lebih ramai anak-anak muridnya untuk cemerlang dalam Bahasa Inggeris tercapai. Dialah guru inspirasi di hati saya.