Mrs NURUL IZZATUL AIDA BINTI RAJAAI
From SEKOLAH RAJA PEREMPUAN TAAYAH

Nominated by MUSTAKIM BIN MUSTAFA
Aku pernah menuntut di Sekolah Izzuddin Shah, Ipoh. Sepanjang tempoh lima tahun di situ, banyak perkara yang aku belajar. Terutamanya cara untuk menjadi manusia yang berguna di mata masyarakat. Di situ aku mengenali ramai rakan dan guru yang berdedikasi dalam membantu kami selaku murid. Puan Nurul Izzatul Aida binti Rajaai. Aku mula mengenali beliau ketika masih berada di tingkatan satu. Beliau mengajar subjek Bahasa Melayu kelas aku. Seorang yang tegas, berdisiplin dan berwawasan. Sejak daripada itu aku mula mengenali beliau. Ketika aku berada di tingkatan dua, aku telah diserap untuk mewakili sekolah dalam pertandingan bahas ala parlimen. Beliaulah antara guru yang terawal mencungkil bakat aku dalam bidang pengucapan awam. Jujur aku katakan, pada peringkat awal aku mempunyai darah gemuruh yang sangat kuat. Beliau telah berjaya memotivasikan diri aku sehingga aku berjaya mengawal darah gemuruh aku. Dipendekkan cerita, semasa di tingkatan lima aku bersama pasukan bahas telah berjaya ke peringkat kebangsaan. Beliau bersama seorang lagi guru pembimbing telah melatih kami dengan sangat gigih. Selepas tamat persekolahan, aku buntu untuk membuat keputusan bagu menyambung pelajaran. Aku telah berbincang dengan beliau dan mencadangkan aku menceburi bidang perguruan. Pada mulanya aku kurang yakin, kerana tugas seorang guru bukan mudah seperti yang disangka. Tetapi, aku melihat kecekalan beliau dan akhirnya bidang perguruan inilah yang aku ceburi. Inspirasi daripada beliau yang menguatkan lagi keyakinanku untuk menceburi bidang ini. Beliau memiliki kelulusan dalam bidang pengajian Islam. Namun, atas permintaan pihak sekolah, beliau mengajar subjek Bahasa Melayu. Beliau berjaya buktikan. Selain itu, beliau juga merupakan guru penyelaras PAJSK. Bagi bidang ko-akademik pula, beliau merupakan guru penasihat untuk pasukan bahas dan pasukan nasyid sekolah. Alhamdulillah kedua-dua pasukan ini berjaya hingga ke peringkat kebangsaan. Kerjasama beliau dengan guru-guru lain juga sangat saya kagumi. Banyak kali beliau dilantik menjadi kerua jawatankuasa majlis khas semasa di sekolah. Beliau berjaya bekerja dalam sesuatu pasukan. Buktinya, banyak majlis yang berjaya dilaksanakan oleh beliau. Beliau mempunyai seorang rakan karib yang juga merupakan guru penasihat bagi pasukan bahas, iaitu Puan Siti Zuhaida. Namun, kini beliau telah ditukarkan ke sekolah yang lain, iaitu Sekolah Raja Perempuan Taayah. Walaupun mendapat berita pertukaran secar mengejut, beliau tidak mudah melatah. Selaku penjawat awam, beliau akur dengan arahan. Baru sebulan di sana, beliau telah dilantik menjadi setiausaha kokurikulum. Ini membuktikan beliau sangat dipercayai dan mudah untuk bekerja dengan semua orang. Walaupun telah berkhidmat di sekolah yang baru, hubungan beliau dengan rakan guru dan murid-murid di tempat lama masih terjalin erat. Perkara ini yang menjadi inspirasi kepada saya untuk menceburi bidang perguruan ini. Beliau juga telah membantu saya dalam banyak perkara. Beliau adalah guru inspirasiku. Kini aku akan bergelar guru tidak lama lagi. Tiba masa untuk aku membalas semua jasanya.