Nominees

Mdm MAS ADHA BINTI MOHD YUSOFF

From Sekolah Menengah Kebangsaan Taman Putri

Mdm MAS ADHA BINTI MOHD YUSOFF's photo

Nominated by NURUL AINAA BINTI JUHARI

Orang kata, tak kenal maka tak cinta. Teringat pula pada tahun 2012 ketika Tingkatan 1, setiap kali apabila hampir terserempak dengannya aku pasti patah balik dan tidak mahu bersemuka dengannya. Cikgu Mas nama diberi. Bukan kerana benci, tapi kerana dirinya yang pasti mencari kesalahan pelajar. Tiap kali ditegur, pasti tangannya akan menyinggah untuk memiat telinga muridnya. Ketika itu, dia juga terkenal dengan sifat suka menstapler tudung murid perempuannya kerana tidak melipat tudung dengan betul. Ketika aku berada di Tingkatan 4, dia bukanlah guru yang ditugaskan untuk mengajar aku. Tetapi, tiap kali melakukan eksperimen Fizik pasti dia akan muncul secara tiba-tiba untuk melakukan “rondaan” dan tiap kali itu juga pasti aku tiba-tiba nak cuci radas lah, nak pergi toilet kejap lah, pergi belakang kejap lah. Sebab memang tidak mahu disoal siasat olehnya kerana aku pasti akan ditegur dan disoal itu mengapa, ini mengapa. Manakan tidak, murid yang tidak tahu untuk menyalakan penunu Bunsen pun disergahnya. Malah ditambah lagi dengan sedas rotan di punggung. Berpeluh mak! Dia bukanlah guru disiplin, dia merupakan guru biasa yang mengajar subjek Sains dan Fizik. Dia juga popular dengan perkataan “Sungai” yang diberikan KHAS untuk murid-muridnya. Perkataan itu lebih elok daripada perkataan kesat ataupun tidak baik bertujuan untuk memberi pengajaran pada muridnya. Beliau mempunyai minat dalam bermain ukulele dan suka menyanyi kerana muzik merupakan sebahagian daripada jiwanya. Berilah dia lagu yang dia tahu, dia akan tapau habis! Cikgu Mas juga merupakan kesayangan murid-muridnya. Beliau mempunyai unsur kecindanan ketika mengajar membuatkan ramai murid tertarik untuk belajar dengannya. Sains dan Fizik bukanlah subjek yang menggusarkan murid-murid selagi Cikgu Mas sentiasa memberi tunjuk ajar. Suaranya sahaja, satu sekolah boleh dengar! Dia juga merupakan inspirasi semua muridnya terutamanya bekas anak muridnya tidak kira Cina, India dan Melayu. Kata-kata semangat yang sentiasa diberi kepada anak muridnya pasti tersemat di hati mereka. --- Kamu adalah bukti, dari cantiknya paras dan hati. --- Ketika aku di Tingkatan 5 pada tahun 2016, hubungan kami mula rapat selepas kami memenangi pertandingan “Terima Kasih Cikgu 2016” sebagai Juara yang dianjurkan oleh Kementerian Pendidikan Malaysia ketika itu. Jujur aku katakan, aku bukanlah murid yang selalu diberi perhatian, selalu disebut dan selalu dipuji. Nama pun kadang-kadang salah sebut. Tapi mungkin kerana doa yang ku kirim kepadaNya sejak kami rapat, “Ya Allah, kau lembutkanlah hatinya dan bukakanlah pintu hatinya untukku.” Mungkin itu menjadi asbab kepada kekalnya hubungan kami hingga hari ini. Ada juga guru yang bertanya pada aku tentang, “Apa yang awak buat sampai berjaya cairkan hati Cikgu Mas ni?” Aku hanya tersenyum dan teringat akan doa yang aku titipkan padaNya setiap hari hingga ke saat ini. 3 tahun perkenalan kami memberi kesan mendalam pada aku hingga ke harini, aku banyak belajar tentang kehidupan, kekeluargaan, kemaafan dan keikhlasan dalam sesuatu perkara. Memang nak diceritakan satu-satu pun belum tentu habis. Kami berdua merupakan anak sulung. Banyak yang aku belajar tentang tanggungjawab sebagai anak sulung keluarga daripadanya. Banyak juga perkara yang aku belajar tentang penciptaKu. Aku berjaya untuk menghafal surah Al-Mulk, Al-Waqiah dan 10 ayat terawal dan terakhir surah Al-Kahfi. Walaupun bagi sesetengah orang itu mungkin perkara biasa, tapi bukan orang seperti aku. Yang hanya bergantung dengan Sekolah Agama hingga ke darjah Khas tapi tidak mengekalkan dan meneruskan penghafalan surah-surah. Kini aku melanjutkan pelajaran Diploma Kejuruteraan Elektrik dan memilih perjalanan yang sedikit panjang berbanding rakan yang mengambil matrikulasi dan asasi tetapi itulah perjalanan aku yang telah tertulis. Malah, aku teruja untuk menghabiskan pelajaran dan tidak sabar untuk melihat kedua ibu bapaku dan Cikgu Mas hadir ke majlis konvokesyen untuk melihat aku menggulung segulung ijazah. Ada ketika aku terfikir, Allah tidak memberinya rasa dan nikmat memiliki anak kandung tetapi Allah gantikannya dengan adanya Aku dan beribu kasih sayang anak muridnya yang berganti saban tahun. Dia tidak pernah gagal untuk menjagaku dengan baik ketika aku berada di bawah jagaanya kerana dia sudah menganggap aku sebagai anaknya sendiri. Walaupun aku pernah ditampar dan ia membuat aku menangis, tapi itulah perkara yang aku belajar dan membuatkan aku kuat dan belajar dari kesilapan aku sendiri. Ada satu ketika dia pernah menangis kerana kesilapan aku dan aku lah murid pertama yang berjaya membuat air mata machonya mengalir (di dalam dewan periksa ketika itu). Andai aku murid pertama yang pernah membuat nya menangis, biar aku menjadi orang pertama untuk berada di sisinya ketika dia menghembuskan nafas terakhirnya. Aku berniat untuk menjaganya dalam sisa-sia hidup tuanya kelak di samping menjaga kedua ibu bapaku. Dia merupakan wanita kedua terhebat dalam hidupku. Dia adalah seorang Cikgu. Apa layak aku bagi --- tak terbalas sampai mati. Kau sungguh yang paling tinggi --- istanamu syurga nanti.