Nominees

Mdm Razani Binti Jusoh

From SMK Padang Midin

Mdm Razani Binti Jusoh's photo

Nominated by Muhammad Muazzamuddin Musyrif Bin Abd Razak

Pepatah ada mengatakan bahawa air yang dicincang tidak akan putus. Begitulah jelas gambaran yang dapat ditafsirkan bagaimana utuh dan akrabnya tautan hubungan di antara seorang guru dan para pelajarnya. Meskipun aku sudah melewati umur 19 tahun, namun ilmu mahupun pesanan yang sering dititipkan oleh seorang guru ini tidak akan aku lupakan. Siapa sangka sehingga kini beliau masih menjadi di antara sumber semangat kepada para pelajar dalam meneruskan pembelajaran hingga ke peringkat menara gading. Guru yang dimaksudkan adalah Puan Razani Binti Jusoh. Seringkali kita dengar bahawa kemarahan seorang guru menggambarkan kasih sayang mereka untuk para pelajarnya. Meskipun baitnya tidak pernah diluahkan namun ia jelas terpapar pada riak wajahnya. Guru Bahasa Melayu ini sentiasa menginginkan yang terbaik untuk anak didiknya. Meskipun aku sudah lama meninggalkan dunia persekolahan namun beliau masih sering bertanya akan perkembangan pembelajaranku sehingga kadangkala aku tersentuh dengan keprihatinannya. Tidak mungkin aku lupakan guru yang dikenali dengan imej seorang guru yang garang, berdisiplin namun pada masa yang sama cuba bersama-sama mendalami setiap kepahitan masalah para pelajarnya. Ibarat tegas dalam lembut. Ibarat bengis dalam santun. Ibarat amarah dalam ketenangan. Begitulah uniknya insan yang bernama Razani Binti Jusoh. Guru berbadan kurus, tinggi dan bergaya ini berpegang kepada prinsip marah jangan sampai membenci, tegur jangan sampai menghina dan garang jangan sampai mengherdik. Beliau sering berjaya menyesuaikan personalitinya mengikut situasi semasa. Oleh hal yang demikian, tidaklah hairan mengapa beliau sering mendapat jolokan sebagai Guru Paling Popular pada Sambutan Hari Guru setiap tahun di sekolah SMK Padang Midin dan berjaya mengungguli tempat kelima sebagai Guru Paling Popular di Malaysia melalui Anugerah GPS Bestari Kecemerlangan pada tahun 2016. Berjenaka. Siapa sangka guru yang dikatakan bengis dalam santun ini mahir berjenaka. Sikap beliau yang ceria dan menghiburkan sering mampu menambat hati para pelajarnya untuk sentiasa menumpukan perhatian terhadap apa yang diperkatakan. Buktinya setiap tahun para pelajarnya berjaya memperolehi keputusan yang cemerlang bagi subjek pengajarannya terutamanya melalui Sijil Pelajaran Malaysia (SPM). Kemahiran beliau dalam pelbagai aspek amat menerujakan para pelajarnya. Beliau merupakan di antara jurulatih sukan Bola Jaring, Forum Remaja, Bicara Berirama, bersyair dan beliau juga sering bertindak sebagai paksi utama sekolah sebagai pengacara dalam pelbagai majlis rasmi di sekolah. Keakraban beliau bersama rakan sekerjanya kadangkala memberikan aura yang positif kepada para pelajar. Gelak tawa beliau bersama rakan-rakannya sering mendominasi ruang legar di bilik guru. Kadangkala aku melihat beliau seakan tidak pernah diburu oleh masalah. Air mata. Ceria, gembira, bengis mahupun tawa tidak mampu untuk menyembunyikan titis air mata yang diseka oleh insan ini. Aku pernah melihat beliau menyeka air matanya di saat masalah mehujani kegembiraannya. Hari seumpama berkabung dalam kesamaran kerana pudarnya keceriaan di wajah, terhakisnya tawa yang menjengah pelosok sekolah dan tersadainya teriakan yang sering dilontarkan dikala pelajar melakukan kesilapan oleh insan popular ini. Hari demi hari, murung berganti ceria. Semangat baru yang dibawa beliau pada hari yang mendatang mengajar kami bahawa tiap kepahitan mengajarkan kita erti sebuah kehidupan yang sebenar. Buat cikgu, saya amat berbangga kerana dapat menjadi sebahagian yang pernah wujud dalam kehidupan cikgu. Luhurnya budi cikgu tidak akan pernah saya lupakan. Ikhlasnya bimbingan cikgu tidak akan pernah saya hambatkan. Saya berharap agar cikgu kekal bernada di setiap sanubari anak didik cikgu dan ciptalah sebanyak mungkin pelajar yang mampu menyayangi cikgu seperti seorang ibu kerana mereka akan sentiasa ada untuk mendoakan kesejahteraan cikgu. Percayalah bahawa takdir dan suratan-Nya sentiasa indah. Terima kasih cikgu kerana pernah ada dikala masalah menimpa diri saya dan sentiasa ada di saat kekecewaan bersarang sewaktu dulu. Nukilan ini saya coretkan khas di atas pengorbanan cikgu selama ini. Puan Razani Binti Jusoh. Kau guru inspirasi setiap pelajarmu. Kau guru inspirasiku. Sekian.