Ms Rasmalezam binti Ibrahim
From SMK NABAWAN 2

Nominated by Rajinah Binti Paling
Saya merupakan pelajar B40 yang mana niat belajar hanya untuk menambah ilmu di dada tanpa terlintas dalam fikiran untuk melanjutkan pengajian kerana ketidakyakinan dengan diri sendiri. Tetapi, kehadiran seorang guru yang menganggap saya seperti adik sendiri menjadikan saya bersemangat untuk belajar. Beliau merupakan pembakar semangat saya. Beliau walaupun kasar pada dasarnya, tapi jauh dilubuk hatinya ada sifat penyayang. Sifat penyayang beliau terserlah semasa saya memerlukan telinga untuk mendengar segala luahan hati yang telah lama dipendam seorang. Beliau memberi nasihat yang sangat membina sehinggalah saya menjadi diri saya yang sekarang. Pernah satu hari, saya dan rakan sekelas membuat beliau marah. Sebabnya sebahagian pelajar kelas kami tidak menyiapkan kerja yang beliau suruh. Kesannya, beliau terus keluar kelas dan tidak mengajar kami selama seminggu. Merajuk katakan. Kami pun bersepakat untuk meminta maaf dengan beliau dengan cara menulis kad ucapan maaf. Setiap seorang menulis kad masing-masing, dan kemudian kad tersebut kami satukan dalam kad yang besar. Setelah itu, saya dan seorang sahabat menyeludup masuk ke dalam bilik guru untuk meletakkan kad tersebut. Selang seminggu, beliau pun masuk ke kelas dengan membawa balasan kad kami seminggu lepas. Itulah balasan kad yang paling bermakna dalam hidup saya, kerana dengan balasan tersebut saya dapat tahu saya mempunyai tanggungjawab yang besar kepada diri sendiri, keluarga dan juga sekolah. Beliau juga mempercayai saya dan sahabat saya. Kami diberi kepercayaan untuk menjadi mentor kepada pelajar-pelajar lain khususnya pelajar tingkatan 3. Menjadi seorang mentor membuatkan saya lebih yakin untuk maju ke hadapan dan mengubah nasib keluarga. Cikgu Rasmalezam Ibrahim merupakan seorang guru yang memahami situasi pelajarnya sehinggakan beliau akan membawa makanan jika mengadakan kelas tambahan. Tambahan pula, beliau mengadakan kelas tambahan tanpa meminta apa-apa bayaran dari pelajarnya. Usaha beliau membuahkan hasil sehinggakan hampir kesemua pelajar SPM 2014 lulus subjek yang diajarnya iaitu Matematik. Pelajar SPM tahun 2014 merupakan pelajar teramai yang melanjutkan pelajran. Akhir sekali, saya merupakan pelajar UIAM tahun 2, jurusan perakaunan. Walaupun telah lama menjadi bekas pelajarnya, beliau tetap mengambil berat tentang saya dan rakan-rakan lain yang sedang melanjutkan pelajaran di universiti awam lain seperti UM, UMS, UNIMAS, UPM, UiTM dan kolej swasta lain. Sifatnya itu membuatkan kami belajar bersungguh-sungguh. Ada satu ayat yang membakar semangat saya sehingga sekarang. “Buktikan kampung girl pun mampu mengubah dunia. Mampu membuka mata orang ramai yang mana pelajar miskin pun layak menjejakkan kaki ke menara gading”. Terima Kasih Cikgu.