Nominees

Mr Mohd Faizal bin Yahya

From Sekolah Menengah Kebangsaan Pasir Gudang (1)

Mr Mohd Faizal bin Yahya's photo

Nominated by Siti Ainur Fatihah binti Osham

Mohd Faizal bin Yahya. Guru inspirasi saya. Beliau seorang guru yang sangat komited dalam melaksanakan tugas yang diamanahkan,berdedikasi dan bertanggungjawab dalam mendidik anak-anak bangsa. Selain itu, sikap beliau yang suka berjenaka juga membuatkan beliau amat disenangi oleh semua warga sekolah. Ceritanya, saya merupakan bekas pelajar di Sekolah Menengah Kebangsaan Pasir Gudang. Di mana pada waktu itu tahun 2017, beliau telah mengajar saya subjek Bahasa Melayu iaitu subjek yang paling saya minati sejak saya di sekolah rendah lagi. Walaupun tempoh belajar dengan beliau hanya setahun, tetapi dalam tempoh setahun itu banyak perkara yang saya pelajari daripada beliau tentang subjek kegemaran saya. Pada saya, beliau tidak kekok berkongsi apa sahaja maklumat atau pengetahuan yang beliau ada lebih-lebih lagi jika sesuatu itu berkaitan dengan pelajaran. Bukan itu sahaja, malah saya turut mengagumi kebolehan beliau dalam menghasilkan formula beliau sendiri untuk membina karangan. Tambahan pula, beliau mengajar calon-calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan beliau sering mendapat jemputan dari sekolah-sekolah di sekitar Pasir Gudang untuk berkongsi teknik-teknik menjawab kertas Bahasa Malayu. Memandangkan saya sangat meminati subjek beliau, jadi saya sentiasa tanamkan satu semangat dalam diri untuk lakukan yang terbaik dalam mata pelajaran tersebut. Setiap kali beliau mengajar di dalam kelas, saya akan tumpukan sepenuh perhatian terhadap apa yang diajarkan oleh beliau. Sekiranya terdapat apa-apa perkara yang saya tidak faham, saya akan segera bertanyakan kepada beliau. Hari demi hari belajar dengan beliau, saya dapat memperbaiki kesilapan saya. Apabila tiba musim peperiksaan, saya akan mengulang kaji semula setiap apa yang telah diajarkan oleh beliau dan saya akan menyasarkan A untuk markah bahasa Melayu saya. Sekiranya saya tidak mendapat A, saya akan mencari dimana salah yang saya lakukan seterusnya mendapatkan jawapan yang tepat daripada beliau. Akhirnya, dengan izin Allah S.W.T saya memperoleh A bagi mata pelajaran bahasa Melayu dalam Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2017. Walaupun sebenarnya keputusan itu belum memuaskan, namun saya tetap bersyukur kerana sekurang-kurangnya saya telah berusaha lakukan yang terbaik. Dan sehingga kini, biarpun bangku sekolah telah lama saya tinggalkan tetapi minat saya yang mendalam terhadap bahasa Melayu masih utuh. Saya masih lagi mempelajari bahasa Melayu tidak kira walau dimana sahaja saya berada selagi peluang untuk belajar itu masih ada saya tidak akan mensia-siakan. Akhir kata, Encik Mohd Faizal bin Yahya ialah guru yang hebat kerana pengalaman dan pengetahuan yang dimiliknya. Oleh itu, saya menjadikan beliau sebagai sumber inspirasi saya dengan harapan agar saya dapat menjadi seperti beliau suatu hari nanti. Sesungguhnya, jasa dan pengorbanan seorang guru itu sangat besar. Guru sanggup berkorban masa, tenaga serta wang ringgit demi anak-anak didik. Begitu juga dengan guru-guru saya yang lain, meskipun namamu tidak saya calonkan dalam Anugerah Guru Inspirasi Mcdonalds 2019 ini, tetapi percayalah jasamu guru tidak akan pernah saya lupakan. Doa saya, semoga semua insan yang bergelar guru akan sentiasa diberkati dan dirahmati kehidupannya oleh Allah S.W.T . Sekian daripada saya. Terima kasih guru, tanpamu siapalah aku. Terima kasih jua Mcdonalds.