Nominees

Mr Aziz Bin Mamat

From Sekolah Kebangsaan Mulong 1

Mr Aziz Bin Mamat's photo

Nominated by Mohd Raif Bin Masaud

Mula mengenali beliau ketika saya memasuki darjah 5 di SK Mulong 2, Kota Bharu pada tahun 1999. Cikgu yang dikagumi oleh saya ini diberi nama Cikgu Aziz Bin Mamat, seorang cikgu yang berjiwa besar dan berdedikasi. Beliau mengajar subjek Matematik. Cara pengajarannya sangat senang difahami dan diingati menyebabkan subjek ini begitu seronak untuk dipelajari sehingga saya ternanti-nanti waktu subjek tersebut. Teringat kembali selepas tamat Darjah 5 pada pertengahan November 1999, beliau telah mengambil inisiatif membuat tusyen bagi terus memantapkan anak didiknya dengan Matematik. Cara pengajarannya amat santai telah membuatkan anak didiknya jatuh cinta dan terus meminati Matematik. Hasilnya ramai anak didiknya mendapat A dalam subjek Matematik termasuk saya pada UPSR tahun 2000. Tahun 2001 kami berpisah kerana saya melanjutkan pelajaran ke peringkat menengah dan beliau masih menabur bakti di SK Mulong 2. Selepas terasa rindu lama tidak berjumpa, saya mengambil inisiatif untuk berjumpa kembali dengan insan yang teristimewa ini. Selamat tamat pengajian di Universiti pada tahun 2013 saya berjumpa kembali dengan beliau, lebih mengembirakan saya berjumpanya di sekolah lama saya iaitu SK Mulong 2, kudratnya masih ditagih di sana. Saat berjumpa ini bermacam-macam cerita dikongsi dan kami tersenyum mengingat kisah lama. Beliau masih mengingati diri saya walaupun sudah lebih 10 tahun tidak berjumpa. Di zaman teknologi canggih ini, dengan adanya whatsapp mendekatkan lagi kami untuk berhubung dan kami merasa begitu dekat. Kini beliau berkhidmat di SK Mulong 1, Kota Bharu. Ketika beliau masih lagi menabur bakti mendidik anak bangsa, kepakarannya dalam bidang Matematik tidak dapat disangkal lagi apabila menghasilkan modul ‘Azimat Matematik’. Beliau telah mencipta satu sistem perisian memudahcara sukatan pelajaran Matematik bagi pra sekolah dan sekolah rendah yang diguna pakai di empat negara iaitu Malaysia, Amerika Syarikat, Korea dan India. Modul ini telah melahirkan rasa keseronakan kepada pelajar untuk menguasai teknik pengiraan dan menyelesaikan masalah dalam subjek Matematik. Kepakaran ini telah mendapatkan liputan media Malaysia seperti Berita Harian dan Harian Metro yang menyiarkan artikel berkaitan beliau pada 19 Disember 2018. Justeru, beliau telah mendapat pengiktirafan ‘Certificate of Achievement in Microsoft Digital Literacy oleh Microsoft Malaysia pada tahun 2014; Anugerah Guru Inovatif Sekolah Rendah Peringkat Negeri Kelantan pada 2015 oleh Jabatan Pendidikan Negeri Kelantan dan Johan Pertandingan Jejak 1001 Inovasi 2013. Beliau juga memuat naik modul tersebut di laman web miliknya iaitu http://azimatmate.blogspot.com/. Saya sangat berbangga mengenali insan yang bernama CIKGU AZIZ BIN MAMAT. Saya sayang Cikgu!