Nominees

Ms CHEW WAI PENG

From KOLEJ MATRIKULASI PERAK

Ms CHEW WAI PENG's photo

Nominated by MOHD AFIFFI BIN BAHARUDDIN

Saya memasuki kolej matrikulasi Perak pada tahun 2004 dalam jurusan Sains Fizik. Walaupun telah Berjaya menamatkan SPM, saya masih tidak ada cita-cita yang jelas tentang kerjaya saya pada masa akan datang. Saya masih tercari-cari apakah kerjaya yang saya inginkan dan serasi dengan saya. Semasa di matrikulasi, Ms Chew telah masuk mengajar kuliah saya menggantikan guru fizik sebelumnya. Itulah kali pertama saya mengenali beliau. Setelah melalui pembelajarannya di dalam kelas, saya sangat teruja dan kagum dengan ilmunya, penerangannya dan kaedah pembelajaran yang diberikan di dalam kelas. Sangat berbeza dengan guru sebelumnya. Saya menjadi bersemangat dan minat saya terhadap fizik terus berubah menjadi semakin mendalam. Bagaimana beliau di dalam kelas? Setiap kali kelas, beliau akan memulakan kelas dengan “bebelan”. Beliau akan menegur sikap kami, memberi peringatan dan nasihat yang banyak kepada kami setiap kali sebelum memulakan kelas. Sehinggakan kami semua berasa pelik apabila beliau terus memulakan kelas semasa kelas tambahan pada waktu malam tanpa “membebel” terlebih dahulu kepada kami. Kami sangat menyenangi bebelan tersebut kerana bebelannya adalah sangat ikhlas seperti nasihat kakak kepada adiknya atau seorang ibu kepada anaknya. Beliau sangat memberikan inspirasi kepada saya. Saya lebih teruja mempelajari fizik dan sering berjumpa dengan beliau, hanya untuk mendengar dan menerima “bebelan” dari beliau. Betapa beliau sangat member inspirasi , saya lebih selesa menerima teguran dan nasihat beliau berbanding berjumpa dengan kaunselor. Apabila saya duduk bersama dengan beliau, saya berasa lebih kagum apabila beliau menjadi pakar rujuk rakan-rakan guru fizik yang lain. Saya sering melihat dan mendengar guru-guru fizik yang lain datang bertanya soalan kepada beliau dan beliau akan menjawab soalan-soalan tersebut dengan jelas menunjukkan ketinggian ilmu fiziknya. Kemuncak inspirasi beliau terhadap saya adalah, secara tidak sedar diri saya telah tertanam satu impian. Ya, saya ingin menjadi seperti beliau. Saya mengagumi kehebatan beliau. Sangat memberi inspirasi. Saya bertekad ingin menjadi guru. Ya, seorang guru Fizik yang hebat seperti beliau. Maka, saya tamatkan matrikulasi dengan keputusan Fizik yang cemerlang, dan terus memohon ke IPTA dalam jurusan pendidikan fizik. Saya diterima sebagai pelajar di fakulti pendidikan UTM dalam jurusan sains Fizik. Maka bermulalah perjalanan saya untuk mengikuti jejak seorang guru yang sangat menginspirasikan saya. Saya menanamkan azam untuk bertemu semula dengan beliau, setelah saya Berjaya menjadi seorang guru fizik. Kini, saya telah Berjaya menggapai impian saya menjadi seorang guru fizik. Walaupun telah bergelar guru fizik, saya masih meneruskan usaha untuk menjadi seorang pakar seperti beliau. Hebat semasa mengajar fizik dan hebat semasa mendidik sikap kami. Sebagai idola dan inspirasi saya, sehingga kini saya masih lagi menyimpan nota dan buku yang ditulis oleh beliau dengan tangan. Ia menjadi khazanah yang berharga buat saya. Saya sangat berharap dapat berjumpa semula dengan beliau, untuk saya mengucapkan terima kasih kerana menjadi inspirasi yang sebenar-benarnya mengubah perjalanan hidup dan matlamat saya. Beliau orang yang Berjaya menanamkan semangat dan minat yang mendalam kepada saya. Saya rindukan beliau. Saya kini adalah seorang guru fizik di Muar, Johor. Oleh itu agak sukar untuk bertemu dengannya di Perak. Walaupun setiap tahun saya mengucapkan hari guru dan tahun baru cina, ia masih belum cukup. Saya mahu bertemu muka dengannya, untuk menunjukkan diri saya hari ini, Iaitu hasil tangan dan inspirasi dari beliau, adalah seorang guru Fizik yang Berjaya. Saya berharap dengan anugerah guru inspirasi McDONALD ini dapat dijadikan peluang untuk saya menunjukkan rasa terima kasih kepada beliau kerana telah menjadi inspirasi sangat terkesan kepada saya. Terima kasih Cikgu.