Mdm Saharini Abdullah
From SMK TELUPID

Nominated by Eskah LC Lawrence
" Guru kelas kita siapa? Mengapa hanya kelas kita yang tiada guru kelas? " Inilah persoalan yang kami benar-benar inginkan jawapannya pada hari pertama persekolahan sebagai pelajar Tingkatan Empat. Setahu kami, setiap kelas mesti ada seorang guru yang dipertanggungjawabkan untuk menjadi guru kelas. Yang anehnya, hanya kelas kami sahaja yang tidak memiliki guru kelas. Rupa-rupanya, guru yang diberi mandat menjadi guru kelas kami itu, adalah seorang guru perempuan yang baru sahaja melahirkan cahaya mata semasa cuti sekolah yang lalu. Maka, beliau perlu mengambil cuti bersalin selama tiga bulan. Kelas kami terpaksa berdikari tanpa guru kelas selama 3 bulan. Ramai yang kata guru kelas kami yang bercuti itu, adalah seorang guru yang garang dan berbadan besar. Betulkah? Akhirnya pada hari guru kelas kami sudah tamat tempoh cuti bersalin, beliau pun datang ke kelas kami untuk pertama kalinya. Kami semua tertanya-tanya bagaimana agaknya rupa dan perwatakan guru kelas kami itu. Eh? Orangnya berbadan kecil sahaja, sangat comel dan lembut budi bicaranya. Tapi, kecil-kecil cili padi. Cikgu ni ajar matapelajaran susah tau. Kimia! Kelas kami suka sangat dengan cikgu ni. Sepanjang setahun di Tingkatan Empat, kami menjadi lebih rapat dengan beliau. Masuk pula tahun berikutnya di Tingkatan 5, pada awalnya dia tidak lagi ditugaskan menjadi guru kelas kami. Dan perkara ini sungguh membuatkan kami sekelas bersedih selama seminggu! Tiba-tiba tanpa disangka, pada satu hari beliau masuk ke kelas kami lalu menyatakan bahawa beliau telah ditugaskan kembali untuk menjadi guru kelas kami. Siapa tidak gembira kan? Tambahan pula tahun tu tahun ambil SPM. Banyak yang kami lalui bersama guru ini. Kami mulai memanggilnya "Ibunda" berbanding "Cikgu". Kelas kami ni bukan kelas biasa. Banyak konflik yang berlaku dalam kalangan rakan-rakan sekelas. Kami sering mengalami salah faham tentang perkara-perkara remeh dan timbullah ketidaksatuan di kelas ini. Tetapi, guru kelas kamilah yang sering menyelesaikan segalanya. Dalam kelas, beliau nampak sangat tegas dan kuat. Tetapi ada satu hari, kami pergi ke bilik guru untuk berjumpa dengannya. Beliau menangis semasa meluahkan perasaannya kepada rakan gurunya. Tugas seorang guru bukanlah senang. Seorang yang kuat pun pasti mengalirkan air mata apabila terluka. Kami sangat-sangat malu dan rasa bersalah kerana sering mengendahkan nasihat guru kelas kami ini. Malah perlakuan kami yang tidak bersatu padu dalam kelas telah mengguris hatinya yang murni. Demi menyelesaikan semua salah faham, cikgu ini telah mengadakan satu sesi untuk semua orang di dalam kelas meluahkan perasaan masing-masing dengan jujur. Ramai yang menangis mendengar dan meluahkan isi hati. Cikgu kami ini telah menyediakan belon pada masa itu. Katanya, setiap orang akan dapat satu belon. Berikan belon kamu kepada orang yang kamu paling rasa bersalah sebagai tanda minta maaf. Kami semua memberi belon kepada sesama sendiri apabila selesai meluahkan perasaan di hadapan. Seungguhnya, saat itulah kami benar-benar menyesal dan kami mulai berubah. Ikatan persahabatan kami menjadi lebih kuat kerana hadirnya seorang insan yang tidak pernah berputus asa membimbing kami. Kelas kami menjadi sebuah keluarga. Dan kami semua menganggap guru kelas kami ini sebagai Ibunda kedua kami yang sangat baik. Walaupun kami sering mengecewakan beliau, beliau tetap mengatakan "tidak apa, anak-anak". Di situ kami merasakan kehangatan kasih seorang ibu di sekolah. Kepada Cikgu Saharini, maafkan segala kesalahan anak-anak cikgu di 5Sains selama ini. Sesungguhnya peribadi seperti cikgu ini tidak akan pernah ada penggantinya. Kami semua amat menyayangi cikgu sebagaimana cikgu juga menyayangi kami.