Nominees

Ms TCHONG FUI MUI

From SEKOLAH MENENGAH KEBANGSAAN TUN ABDUL RAZAK

Nominated by CARLOS TINOS ANAK KIRIP

"Cikgu sudah kata, latih dialog kamu berdua supaya lebih lancar dan menjadi kebiasaan. Sudah berbuih mulut cikgu cakap dengan kamu berdua. Banyak kali berlatih masih juga tidak ada peningkatan. Kamu berdua ingat ini perkara main-main? Ini pertandingan peringkat kebangsaan! Pertandingan pertunjukkan sains bukan berpidato! Sepatutnya kamu berdua sudah ada 'chemistry' antara satu sama lain. Sampai sekarang cikgu tidak nampak keserasian dan impak yang begitu jelas semasa latihan. Persembahan semasa majlis graduasi kamu berdua adalah salah satu latihan untuk melatih kamu berdua di khalayak ramai. Akan tetapi kamu berdua telah gagal. Usaha yang kamu lakukan hanya sia-sia sebab setiap hari berlatih masih juga melakukan kesilapan yang sama. Cikgu amat kecewa. Latihan persembahan kamu berdua pada kali ini amat teruk! Banyak sangat kesalahan yang tidak sepatutnya dilakukan. Idea dan konsep cukup mudah difahami tetapi tidak dapat sampaikan dengan begitu menarik. Sekarang beritahu saya apa masalah kamu berdua. Sila jujur dengan saya." Begitulah apa yang dikatakan oleh cikgu Tchong Fui Mui selaku guru pembimbing Petrosains Science Show Competition 2018 kami. Saya dan rakan saya, Pink. Kami berdua merupakan peserta terpilih ke peringkat kebangsaan (peringkat akhir). Sebaik sahaja beliau habis menegur kami, kami hanya mampu berdiam diri. Perasaan berbaur dengan rasa sedih, kecewa, dan marah. Namun begitu, kami terus diam. "Ini adalah peluang terakhir kamu berdua. Selepas itu, tiada lagi. Kalau kamu berusaha dan berlatih bersungguh-sungguh, sudah pasti ada ganjaran yang menanti. Cikgu marah dan tegur kamu berdua untuk memperbaiki kesilapan. Bukan saja-saja cikgu marah kamu. Memang cikgu hendakkan kesempurnaan tetapi ianya bergantung kepada kamu berdua. Kerjasama sangat penting. Pernah kamu buat refleksi diri setiap kali habis latihan?" Kami masih tidak bersuara. Saya menunduk kepala. Begitu juga Pink. Tanpa saya sedar air mata membasahi pipiku. Saya menangis teresak-esak, tidak tahan dengan apa yang diperkatakan oleh guru kami. Setiap kata Cikgu Tchong membuatkan saya tersentap. Saya mengesat air mata yang mengalir pada pipi. Dalam yang sama saya memberitahu perkara sebenar mengenai kami berdua. "Sudah terang lagi bersuluh. Cikgu sudah lama perasan. Ternyata tanggapan cikgu benar. Kamu berdua memang ada masalah. Pernah cikgu pesan untuk tulis skrip? Ada tetapi Carlos saja yang tulis. Pink, ada kamu tulis? Tidak ada. Sebab cikgu perasan hanya Carlos saja yang tulis skrip. Cikgu bukan saja-saja suruh kamu berdua tulis skrip itu. Cikgu suruh tulis sebab skrip tersebut sebagai panduan kamu berdua. Perkara yang cikgu hairan ialah Pink. Perwatakan kamu belum menyerlah lagi. Tidak ada karisma langsung. Bagi sepenuh tenaga dan bawa ketika latihan. Kamu perlu serlahkan sifat tersebut ketika latihan. Carlos, kamu pula terikat dengan skrip yang kamu buat. Selalu tersekat-sekat dan terlupa. Fleksibiliti itu penting jika ada yang lupa bahagian masing-masing. Kalau semasa latihan kamu berdua berlatih seperti itu, tentu semasa pertandingan nanti akan berlaku perkara yang sama juga. Terus terang cikgu beritahu" kata cikgu Tchong dengan penuh tegasnya. Tertusuk segala kata-kata cikgu Tchong terhadap Pink. Dia amat terasa dan tidak dapat berkata apa-apa. Lalu Pink hanya menganggukkan kepalanya sahaja. Saya pula masih membasahi pipi yang tak sudah. Kami memohon maaf kepada guru kami. Pada petang itu, kami kembali ke asrama. Tidak ada sebarang latihan dijalankan kerana menghabiskan masa kami dengan segala teguran dan nasihat diberikan oleh guru kami. Waktu malam dibuai bersama angin sepoi-sepoi bahasa tambah lagi dengan fikiran dan jiwa yang masih terkilan terhadap diri sendiri. Apabila difikirkan, segala kata-kata cikgu Tchong tersebut adalah benar. Walaupun beliau tegas, namun beliau amat prihatin terhadap kami. Pada mulanya saya dan Pink mengenali beliau sebagai seorang guru yang amat digeruni oleh pelajar lain. Amat sukar untuk rapat dan bertegur sapa dengan beliau pada pertama kalinya. Beliau mengajar matapelajaran Kimia Tingkatan 6. Menurut pelajar beliau, cikgu Tchong sangat serius dan fokus dalam tugasannya sebagai guru. Beliau juga sangat mementingkan ketepatan masa dalam melakukan sesuatu. Personaliti cikgu Tchong ini telah membakar semangat terutamanya saya sendiri. Hal ini dikatakan demikian kerana beliau berpesan kepada kami agar berdisiplin kerana disiplin diri mencerminkan perwatakan dan perlakuan seseorang. Seseorang yang berdisiplin juga dapat menjamin masa depan yang cerah. Oleh itu, kami berlatih dengan tekun. Kami juga mencuri masa walaupun sedikit untuk berlatih dari segi dialog. Tidak kira kami di kelas, asrama atau dewan makan. Sebelum tidur juga kami berdialog sambil membuat kerja sekolah kami. Kesibukan kami membuatkan guru, dan rakan kami risau akan tahap pembelajaran dan kesihatan kami. Tetapi kami menyakinkan mereka untuk tidak begitu risau malah kami memohon sokongan dan semangat daripada mereka. Latihan tetap diteruskan. Tekanan memang kami rasai kerana kesilapan kami ketika berlatih masih perlu diperbaiki. Antaranya ialah cabaran dalam menghasilkan ‘chemistry’ antara kami berdua sepanjang persembahan, unsur jenaka, dan menjelaskan konsep sains yang jelas. Cikgu Tchong terus memperbaiki dan memberi komen terhadap setiap latihan kami. Kami juga berlatih di khalayak ramai jika ada masa. Dalam masa yang sama beliau juga menasihati kami untuk tidak abaikan pelajaran dan menjaga kesihatan dengan baik sebelum pertandingan. Ketika itu saya agak kurang sihat. Selesema. Namun begitu, semangat saya tidak pudar begitu juga rakan saya. Sifat penyayang dan prihatin juga ada pada diri beliau. Beliau membeli sedikit ubat untuk saya. Saya sudah tidak tahu hendak mengatakan apa lagi. Perbuatan beliau membuatkan saya semakin menghormati beliau sebagai seorang guru. Berbaki 5 hari lagi, kami masih berlatih seperti biasa dan memperbaiki kelemahan kami. Hari demi hari cikgu Tchong banyak memberi dorongan dan semangat.Tentulah beliau masih lagi akan memberi komen tentang latihan kami. Beliau mengatakan bahawa perkara yang paling penting ketika membuat persembahan ialah 'enjoy your show'. Ayat inggeris yang biasa digunakan dalam setiap persembahan yang bakal berlangsung. Sekolah dari negeri lain sudah sampai di lokasi pertandingan dan mempersembahankan pertunjukkan sains di Kuala Lumpur Convention Center. Masing-masing membawa peralatan atau prob yang membantu dalam pertunjukkan. Banyak persaingan dan masing-masing ada keunikan, kekuatan, dan kelemahan sendiri. Namun begitu, kami tidak putus asa dan tetap merendah diri. Sebelum persembahan, cikgu Tchong memberi kata-kata semangat akhir dalam pertandingan ini. Beliau juga memohon maaf atas tekanan yang diberikan kepada kami berdua. Akhirnya, kami tidak dapat berkata apa-apa. Saya hanya mampu senyum dengan tangisan kegembiraan. Segala keletihan kami akhirnya hilang sekelip mata. Saya berasa lega begitu juga dengan rakan saya. Cikgu Tchong pula gembira melihat kami berdua. Pengumuman daripada juruacara: "Kini, tibalah masanya. Juara bagi Petrosains Science Show Competition 2018 Peringkat Kebangsaan jatuh kepada... SMK Tun Abdul Razak, Sarawak!" Cikgu Tchong bertanya, "Bagaimana perasaan kamu berdua? Cikgu sangat letih. Selepas ini cikgu mahu rehat. Kamu berdua perlu belajar dan buat ulang kaji. Jangan tidak belajar pula." Mendengar kata itu, kami tersenyum dan mengangguk kepala saja. Memori bersama cikgu Tchong Fui Mui terpahat di dada walaupun manis atau pahit. "Cikgu Tchong Fui Mui, cikgulah insan luar biasa dan inspirasiku."