Mdm Hasnidar Binti Muhammadon
From SMK Mat Kilau
Nominated by NUR RAIHAN BINTI MOHD NIZAM
Cengeng, penakut, tiada keyakinan diri, pemalu, namakan sahaja sifat introvert itu semua saya. Tetapi itu semua adalah sebelum berjumpa dengan seorang insan istimewa yang bergelar Cikgu Hasnidar atau lebih mesra Cikgu Nida.. Sejak pertama kali melihat wajahnya pada tingkatan 1, saya rasa sangat suka dan kagum dengan semangat dia untuk mengajar dan menerangkan macam-macam benda baru pada kami walaupun ketika itu dia sedang sarat mengandung. Ayat cikgu yang paling tidak dapat dilupakan saat itu ialah ''apa lagi nak bebel ya?''. Sampai sekarang saya ingat kata-kata itu. Walaupun dah panjang lebar bercerita dan menerangkan subjeknya dengan keadaan sarat mengandung pun masih bersemangat untuk anak bangsa. Tapi, sejak dari hari itu, saya tak lagi berjumpanya kerana dia sudah digantikan dengan cikgu lain untuk mengajar kami kerana cuti bersalin. Perasaan sedih masa itu hanya tuhan yang tahu. Namun, kesedihan itu tak lama apabila dia merupakan cikgu sains saya pada tahun seterusnya. Pada tahun ini juga antara yang paling saya kagum dengan dia ialah saat dia sanggup mengulang penerangan tentang prosedur eksperimen berkali-kali selagi ada yang tidak faham. Kalau tak silap ada dalam 5 kali beliau mengulangnya dari A-Z. Sabar sungguh hatimu. Ok, macam mana hidup dan personaliti saya berubah oleh sebab Cikgu Nida? Pada suatu hari ada yang memberitahu yang cikgu sedang mencari pembantu untuk jadi jurugambar pada hari anugerah cemerlang sekolah. Dengan besar hati saya ingin mencuba dan cikgu terima saya untuk dijadikan pembantunya. Mungkin dari saat selepas tugas itu, cikgu tahu saya ada potensi dan minat dengan bidang fotografi ini, jadi cikgu telah melantik saya menjadi salah seorang ahli sidang redaksi majalah. Dari situlah saya mula membina keyakinan diri untuk berkomunikasi dengan orang, memberi arahan, membuat keputusan dan kuatkan mental serta fizikal saya dengan tugas-tugas jurugambar sekolah yang tak dinafikan cabarannya. Sejak itu jugalah, saya menjadi rapat dengannya kerana tugas dan juga makin dikenali guru-guru di sekolah sekali gus menaikkan keyakinan diri saya untuk berkomunikasi dengan mereka di mana sebelum ini, kalau bercakap sangat susah untuk saya bertentang mata atau membuat 'eye contact' dengan mereka. Kini tidak lagi. Sampai saat saya sudah ke kolej saya tiada lagi masalah tidak yakin diri. Selain itu, Cikgu Nida sentiasa ada disaat saya perlukannya. Ketika saya ada masalah, padanya sahaja segala resah di dada dapat diluah dan dilapangkan. Ada 1 ketika, saya ada masalah dalam hubungan dengan rakan baik saya, walaupun sudah diluahkan pada ramai cikgu yang sedia membantu, masih kesedihan itu tak hilang sehingga saya dapat luahkan pada Cikgu Nida. Dia memberi saya semangat dengan menceritakan pengalaman-pengalamannya dahulu untuk dijadikan nasihat dan pembakar semangat. Dengan nasihatnya, hubungan saya dan kawan baik saya kembali pulih. Terima kasih atas nasihat yang penuh kasih sayang saling tak tumpah seperti kasihnya ibu pada anak. Cikgu Nida juga seorang yang sangat 'sporting' dan tak kedekut. Ajak saja ''cikgu jom makan mcd'' sampai ke Pekan dia bawa saya dan kawan-kawan baik saya makan mcdonald siap belanja lagi. Kalau rancang buat kejutan hari lahir pun, sanggup bersama-saja menjadi rakan subahat bagi menjayakan parti itu. Siap taja kek birthday tau. Tak terbalas budimu. Banyak lagi yang cikgu dah buat untuk kami dan sebab cikgu lah zaman sekolah menengah kami tidak sia-sia dengan kebosanan. Senang cerita, cikgu telah mewarnai hampir semua ceritera zaman sekolah saya bersama rakan baik saya untuk dijadikan cerita buat anak cucu kami. Tanpa cikgu, pasti zaman sekolah kami penuh kehambaran. Cikgu, kehadiran cikgu dalam hidup saya banyak mengubah saya. Terima kasih kerana sudi tolong saya disaat saya jatuh walau banyak juga cabaran dalam hubungan kita. Serapat mana pun kita, pasti ada saat akan saling bermasam muka, namun kuatnya kasih antara kita tak menjadikannya halangan untuk sentiasa berkasih sayang antara kita. Terima kasih cikgu kerana telah membentuk saya untuk jadi yang lebih baik, memberikan kasih sayang pada saya, menjadi pendengar setia, dan banyak lagi jasa-jasamu yang tak dapat nak dihuraikan satu per satu. Jasamu akan saya kenang hingga ke akhir hayat.