Nominees

Mdm Rahimah binti Abdul Rajak

From Smk Petra Jaya

Mdm Rahimah binti Abdul Rajak's photo

Nominated by Shereen Lim Hui Ling

Kau hadir melengkapi, Segala kekurangan di sisi, Kau bagaikan permaisuri, Yang bertakhta dalam hati, Dengan hadirnya dirimu ini, Mencorakkan hidupku seperti pelangi, Insan seperti mu tiada pengganti, Dan tak mungkin akan ku cari, Segala ajaranmu akan ku ingati, Hingga ke hujung nafas ku ini, Kau yang ku sayangi, Kau yang ku kasihi, Kau jugalah yang menjadi inspirasi, Duhai guru yang ku kasihi. Setiap insan yang bergelar guru pasti akan menjadi insan yang teristimewa di mata setiap anak didiknya. Tapi, apakah yang menjadikan seseorang guru itu guru inspirasi? Bagi ku guru yang mendapat gelaran guru inspirasi sememangnya guru yang meninggalkan kesan yang teramat baik dan sukar diungkapkan dengan kata kata. Sejujurnya aku tidak pernah mempunyai guru kesayangan atau guru yang menjadi inspirasi kepada diriku selama aku menuntut ilmu daripada tadika, sekolah rendah sampailah sekolah menengah. Akan tetapi, keadaan bertukar bila aku menjejak kaki ke tingkatan 3 dan akhirnya aku bertemu dengan seorang guru yang amat luar biasa sehinggakan beliau mengubah seluruh hidupku. Aku mengenali beliau sejak dua tahun yang lalu di mana usia ku ketika itu ialah 15 tahun. Beliau merupakan guru aku dan juga merupakan guru mata pelajaran inggeris. Pada mulanya aku tidak berapa rapat atau berkenan dengan guru tersebut. Maklumlah kan baru berkenalan manalah nak suka kan. Pada masa yang sama guru tersebut juga merupakan guru yang amat tegas dan aku bersama sama dengan rakan sekelas ku berasa amat takut setiap kali guru tersebut masuk ke dalam kelas untuk mengajar. Hal ini demikian kerana guru tersebut mempunyai 5 prinsip yang harus kami patuhi untuk mengelakkan beliau daripada naik angin. Akan tetapi, lama kelamaan beliau mula bergurau senda dengan kami dan kami juga mula rapat dengan beliau. Sejujurnya, guru tersebut tidaklah seteruk atau setegas mana yang kami sangkakan. Sejak daripada itulah kami tahu bahawa "tak kenal maka tak cinta". Harus ku akui bahawa guru tersebutlah yang membantu kami untuk meningkatkan kefahaman kami terhadap mata pelajaran bahasa inggeris. Beliau sentiasa berusaha untuk membantu kami demi mencapai keputusan yang cemerlang dalam peperiksaan. Hal ini demikian kerana beliau pernah berkata sebegini kepada kami " cikgu tidak meminta apa apa daripada kamu semua. Cikgu hanya meminta supaya kamu semua dapat memperoleh keputusan yang baik dalam pt3 nanti dan itu sudah cukup memadai bagi cikgu. Ini disebabkan keputusan yang baik sahajalah yang dapat menjadi bekalan untuk kamu semua berjaya pada masa hadapan" kata kata beliau tersebut telah terpahat di setiap jiwa dan raga kami semua. Sejak daripada hari itu, kami berusaha untuk belajar bersungguh sungguh demi membuat beliau bangga. Beliau sentiasa memberikan kata kata semangat yang amat menyentuh hati dan ada tatkala nya kata kata semangat beliau membuatkan aku menitis air mata. Beliau juga tidak pernah jemu mendidik anak didik beliau kerana beliau mengatakan bahawa dapat mendidik anak anak itu merupakan suatu rahmat. Selepas beberapa bulan guru tersebut mendidik kami, tiba tiba aku mempunyai perasaan yang ingin menjadikan guru tersebut sebagai guru inspirasi ku kerana aku tidak pernah menemui guru yang baik seperti beliau. Lama kelamaan timbul lah perasaan sayang yang amat mendalam kepada guru tersebut dan aku berjanji kepada diriku untuk membuat guru ku berasa bangga dengan aku. Aku berusaha siang dan malam untuk memperoleh keputusan yang cemerlang dalam pt3 dan syukur kepada Tuhan aku berjaya mendapat gred B dalam pt3 aku. Daripada gred E ke gred B itu semua adalah berkat dan usaha yang telah diberikan oleh guru tersebut dan dari situlah aku nampak bahawa guru tersebut memang meninggalkan kesan yang amat mendalam terhadap diriku. Sukar untuk aku ungkapkan juga bahawa aku merupakan seorang anak tunggal dan aku hanya menetap bersama sama dengan nenek ku. Sejujurnya juga aku tidak pernah marasai kasih sayang ibu bapa semenjak aku dilahirkan. Aku hanya dapat merasai perasaan kasih sayang seorang ibu apabila aku bertemu dengan guru tersebut. Seperti anak anak yang lain aku juga menginginkan kasih sayang dan pelukan daripada seorang ibu dan aku berjaya mendapat kesemua itu melalui guru tersebut. Beliau sentiasa ada disetiap suka dan duka dan beliau juga pernah berkata dengan diriku bahawa beliau akan selalu berada disisiku jika aku memerlukan beliau. Beliau melayan ku seperti anak sendiri dan aku berasa amat gembira dan bersyukur kerana diberikan layanan tersebut. Apa yang membuatkan aku terasa amat tersentuh adalah apabila beliau membenarkan aku memanggil beliau dengan perkataan "mama" dan beliau juga turut memanggil aku dengan perkataan "dear/daughter". Aku amat bersyukur kerana dikurniakan dengan seorang insan yang amat luar biasa seperti beliau yang sanggup melayan aku seperti anaknya sendiri. Wahai cikgu yang ku sayangi aka my adopted mother, Aku mahu dikau tahu yang dikau akan selalu hadir dalam setiap doaku. Aku juga mahu dikau tahu yang dikau akan selalu ada di dalam jiwa dan raga ku. Kehadiran dikau mengubah seluruh hidupku. Aku berasa amat bersyukur kerana dikurniakan dengan seorang guru yang bukan sahaja sebagai pengajar malahan sebagai seorang ibu. Aku amat bersyukur kerana aku dapat merasai kasih sayang seorang ibu melalui dirimu walaupun aku tahu bahawa aku hanya boleh menumpang kasih yang sementara. Aku juga mahu dikau tahu bahawa andai kata suatu hari nanti kita dipisahkan, aku mahu dikau tahu bahawa dikau akan selalu ku ingati hingga ke hujung nafas ku ini. Hal ini demikian kerana aku tidak mungkin akan bertemu dengan seorang guru yang seperti dirimu sepanjang hayat ku. Terima kasih guru ku kerana telah menyayangi diriku seperti anak mu sendiri. Aku tidak mampu memberikan apa apa kepada mu melainkan kasih sayang seorang anak kepada ibunya kerana aku mahu dikau tahu bahawa aku menyanyangi dirimu seperti ibuku sendiri. Aku berjanji kepada mu bahawa aku akan membuatkan dirimu bangga dengan ku, itu janji ku kepada mu. Wahai guru, kaulah inspirasi ku. Kau lah yang ku sanjungi, yang ku kagumi, yang ku hargai, yang ku sayangi sepanjang kehidupankan ku di dunia ini. Aku menyanyangi mu dunia dan akhirat. Terima kasih kerana menjadi guru inspirasi ku dan juga insan yang amat teristimewa dalam hidup ku. I just want you to know that you are part of my life and i love you a lot.