Nominees

Mr Fahmi

From Sekolah Menengah Kebangsaan Putrajaya Presint 9(1)

Nominated by Nur Atiqah Binti Mohammad Natasha

Saya berpindah ke SMK Putrajaya Presint 9(1) ketika saya berumur 17 tahun. Umur di mana saya layak menduduki Sijil Pelajaran Malaysia(SPM). Saya merupakan pelajar aliran sains yang pada asalnya menuntut di Sekolah Berasrama Penuh. Namun begitu, rezeki saya hanya sekadar sehingga di tingkatan 4 sahaja, saya terpaksa berpindah atas alasan kesihatan. Saya menghidap penyakit SLE sejak berumur 15 tahun dan memerlukan rawatan doktor pada setiap bulan. Dalam 9 subjek yang saya ambil, hanya satu subjek sahaja yang saya masih tak mampu kuasai walaupun waktu tidur saya banyak dikorbankan bersama buku, iaitu subjek Fizik. Ketika di Sekolah Berasrama Penuh dulu, keputusan peperiksaan subjek Fizik saya hanya sekadar lulus. Malahan, pernah hampir gagal. Hari pertama persekolahan di sekolah baharu dan suasana yang baharu, masih terngiang-ngiang soalan beliau, "siapa tak suka subjek Fizik?". Saya antara salah seorang pelajar yang turut bersama mengangkat tangan bersama rakan sekelas baharu saya yang lain. Beliau merupakan seorang cikgu Fizik yang terbaik yang pernah mengajar saya. Beliau mendekatkan diri pelajar dengan Fizik dengan cara beliau tersendiri. Beliau memberi ilmu bukan hanya sekadar untuk melunaskan tanggungjawab beliau sebagai seorang guru semata-mata, malahan minat beliau dalam bidang Fizik membuatkan beliau sewajarnya memang layak mengajar subjek Fizik. Cara beliau mengajar dan mengajak pelajar mendalami ilmu Fizik membuka mata saya bahawa Fizik itu menyeronokkan. Kalau dulu keputusan peperiksaan subjek Fizik saya hanya sekadar lulus, kehadiran beliau dalam bersusah payah menerangkan teori Fizik berjaya mengubah keputusan peperiksaan kepada yang lebih baik, iaitu B+. Saya masih ingat ketika beliau berusaha untuk memudahkan saya memahami EMF dan motor, 10 kali saya kata tak faham, 10 kali juga beliau terangkan semula tanpa ada satu fakta pun yang tertinggal. Kini, saya merupakan pelajar Kejuruteraan Penyelenggaraan Kapal Terbang di Kolej Antarabangsa Yayasan Melaka. Sayalah anak didikan beliau, Cikgu Fahmi.