Nominees

Mr Guri Agan

From Sekolah Menengah Kebangsaan Taman Tunku

Mr Guri Agan's photo

Nominated by Michelle Ubong Sari

Dulu, saya seorang murid biasa dan hidup dalam kesusahan. Ketika itu, saya mempunyai masalah keluarga yang melibatkan kedua-dua keluarga besar di sebelah ibu dan bapa. Setiap kali pada waktu sekolah merupakan hari paling menggembirakan bagi saya kerana saya tidak tahan melihat keadaan di rumah yang selalu bising dan huru-hara. Saya ingin untuk berpindah jauh dari rumah tersebut dan pindah ke rumah kawan bersama adik namun saya tidak dapat kerana saya juga tidak ingin menyusahkan kedua-dua orang tua saya. Pertelingkahan antara mereka selama saya berumur 9 hingga 13 tahun sudah mula memberikan impak yang negatif kepada saya. Saya mula menjadi seorang anak yang kurang berdisiplin, degil dan tidak tahan menahan maki orang lain sehinggalah saya berjumpa dengan Cikgu Guri. Beliau dahulunya merupakan guru kelas bagi kelas saya. Kami tidak rapat dan hanya bergaul sebagai guru dan anak murid sahaja. Ketika waktu Pendidikan Jasmani, beliau mengajar kami cara-cara untuk melempar cakera. Permainan ini menarik minat saya kerana melempar cakera tersebut seolah-olah boleh membuatkan perasaan marah saya hilang kerana semua rasa geram saya dilepaskan melalui cakera tersebut. Cikgu Guri menyuruh saya untuk mencuba mewakili sekolah bagi acara melempar cakera untuk pertandingan MSSM. Pada awalnya, saya tidak berani untuk mencuba kerana saya tidak pernah mempunyai pengalaman untuk mewakili sekolah dalam mana-mana pertandingan. Namun, saya menerima ajakan cikgu kerana saya tidak ingin terperuk di rumah setelah cikgu mengatakan waktu latihan dijalankan pada setiap petang. Setiap hari, saya berlatih di samping melepaskan perasaan marah saya, saya akhirnya berjaya menemukan satu-satunya tempat untuk saya berehat dan lari dari segala kesusahan. Semasa mewakili sekolah pada kali pertama, saya berasa sungguh takut tetapi cikgu memberikan sokongan kepada saya dan akhirnya saya berjaya mendapat pingat emas dan mewakili miri bagi acara melempar cakera. Pada waktu itu, saya telah membuka hati saya untuk menerima cikgu sebagai bapa atau ahli keluarga saya. Setelah menceritakan kisah dan masalah keluarga saya, beliau menasihati saya supaya bersabar kerana mungkin ada hikmahnya di sebalik perkara yang berlaku. Semenjak saya bergiat aktif dalam bidang sukan, saya mula merasakan bahawa diri saya mula berubah. Saya memberanikan diri menghadap kedua-dua orang tua saya untuk berbincang. Pada hujung tahun 2015, masalah keluarga dapat diselesaikan. Saya berasa sungguh gembira. Kini, saya masih bersekolah dan bersama cikgu di sekolah melatih orang-orang baharu yang akan menyertai pertandingan. Saya telah menubuhkan satu kumpulan atlet padang yang menyertai acara seperti melempar cakera, membaling tukul besi, melontar peluru dan merejam lembing. Mereka semua bagaikan keluarga kedua saya. Kadang-kadang, cikgu guri akan membelanja kami makan bersama-sama setiap kali habis latihan. Beliau sentiasa mengambil berat tentang kesihatan dan keselamatan kami sepertimana dia menjaga anak-anak beliau. Jika kami berada dalam kesusahan, beliau berusaha untuk mencari jalan penyelesaian untuk kami dan menghadapi masalah tersebut bersama-sama. Beliau seorang yang ceria, nakal, memahami, dan mudah disukai ramai membuatkan kami sayang akan beliau. Atlet-atlet kini semuanya menjadi hebat belaka atas berkat usaha beliau. Semasa mewakili Sarawak pada peringkat antarabangsa untuk BIMP-EAGA Friendship di Brunei, beliau sanggup datang melihat perkembangan saya walaupun beliau duduk jauh dari Brunei. Sebelum mana-mana pertandingan berlangsung, beliau sanggup melatih kami, mengorbankan masa cuti beliau yang sepatutnya dikongsikan bersama ahli keluarga. Kami tidak pernah kecewa menjadi anak murid beliau. Setiap kali latihan, dia sentiasa mencari idea baru supaya latihan kami tidak membosankan. Kerana sifat beliau yang serba boleh, beliau telah menjadi inspirasi saya. Saya bercita-cita untuk menjadi guru seperti beliau supaya anak murid saya tidak pernah berada dalam kesusahan dan melahirkan lebih banyak orang yang berbakat tidak kira dalam bidang akademik atau sukan.