BREAKING NEWS
May 24, 2017 - Keindahan Ramadan telah tiba dengan menu istimewa di McD!
'Orang Kita Sendiri Uruskan'
Jun 15, 2017
Berita dari hmetro.com.my



Kuala Lumpur: “Kita memahami pelanggan di Malaysia, kita tahu apa yang mereka perlukan. Kita juga memahami selok- belok perniagaan dari segi undang-undang dan juga pihak berkepentingan yang ada di Malaysia,” kata Pengarah Urusan merangkap Rakan Operasi Tempatan McDonald’s Malaysia, Azmir Jaafar.

Beliau bercakap demikian mengenai pegangan Lesen Pembangunan (DL) baru untuk pasaran Malaysia yang kini dimiliki syarikat dari Arab Saudi, Reza Food Services (RFS) menerusi Lionhorn Pte. Ltd.


MCDONALD’S cawangan Putrajaya tampil kelainan kepada pelanggan dengan persekitaran yang segar.


Namun begitu, pengurusan McDonald’s Malaysia tidak berdepan perubahan dan diterajui oleh Azmir bersama keseluruhan 12,000 kakitangan rakyat tempatan tanpa campur tangan RFS.

“Kita akan terus menjalankan perniagaan di Malaysia bersama rakyat Malaysia sendiri. Kita tidak perlukan pekerja luar setakat ini. Tiada perancangan untuk mengubah komposisi pengurusan.

“Pada masa akan datang kita tidak pasti bagaimana perniagaan kita berkembang kerana mungkin ada strategi baru. Kita akan menggunakan peluang yang ada di bawah satu kumpulan ini untuk menambah baik perniagaan dan perkhidmatan kita kepada rakyat Malaysia,” katanya ketika ditemui Harian Metro di Restoran McDonald’s Putrajaya.

Usai peralihan baru itu, McDonald’s Malaysia membawa wartawan ke Jeddah, Makkah dan Madinah untuk membuat liputan mengenai RFS dan bertemu dengan Pengurus Besar RFS, Abdulrahman Alireza dan Pengurus Kanan Hal Ehwal Korporat RFS, Mohammed Alireza, baru-baru ini.
Bercerita mengenai Lionhorn yang diterajui Sheik Fadh dan Abdulrahman Alireza, Azmir berkata model perniagaan berkenaan bukan asing untuk jenama McDonald’s seluruh dunia.

“Kebanyakan negara yang menggunakan model perniagaan ini mampu berkembang dengan cepat kerana akses keperluan kewangan perniagaan yang tidak terhad dan kita tidak perlu bersaing dengan negara lain.

“Jadi bila ada pemilik baru dan mereka bersedia untuk melabur lebih banyak, bukan saja saya, malah keseluruhan pekerja syarikat juga seronok kerana akan wujud peluang kerjaya dan pekerjaan yang baru di Malaysia, Singapura dan Arab Saudi,” katanya yang sudah bersama keluarga McDonald’s selama 25 tahun.


RUANG dalaman yang luas dan besar menjadikan McDonald’s sebagai destinasi pilihan untuk bersantai bersama rakan dan keluarga.


Azmir yang menguruskan 260 restoran McDonald’s seluruh Malaysia juga punya visi jelas dan kini mula merencana pelbagai perancangan dalam memberikan perkhidmatan terbaik dan berkualiti.

“Kita amat mementingkan kualiti makanan. Daging berkualiti daripada Australia, ikan yang digunakan tidak tercemar dan mesra persekitaran kerana kita pentingkan sumber daripada mana kita dapatkan makanan ini.

“Ayam yang kita gunakan untuk ayam goreng itu dipelihara di persekitaran yang tidak tercemar daripada luar iaitu di kawasan berhawa dingin apabila udara yang masuk dikawal supaya tiada pencemaran,” katanya.


RESTORAN McDonald’s pada masa depan akan dibina dengan reka bentuk baru termasuk tempat permainan kanak-kanak.


Selain itu, lebih banyak restoran bersendirian (Free Standing Drive Thru) yang mempunyai surau akan dibina dengan rekabentuk baru yang dilengkapi teknologi canggih termasuk kios pesanan layan diri.

“Dengan pelaburan sebanyak RM1.4 bilion, kita bercadang untuk membuka 200 restoran baru dalam masa 10 tahun akan datang sekali gus mewujudkan 6,000 peluang pekerjaan.

“Restoran yang akan dibina nanti akan lebih canggih dan besar, dibina bersendirian, ada bilik parti, tempat permainan kanak-kanak, tempat duduk di luar dan kios elektronik yang membolehkan pelanggan mengubah pesanan mereka,” katanya.

Dalam masa sama, Azmir turut tegas ketika memperkatakan mengenai isu halal dengan memberi jaminan kepada pelanggan di Malaysia yang produk di McDonald’s adalah seratus peratus halal dan tiada syak wasangka.


MCDONALD’S antara restoran makanan segera awal terima pengiktirafan halal di Malaysia.


“McDonald’s halal sejak hari pertama membuka pintu di Malaysia pada 1982 dan pada 1996 kita telah mendapat sijil daripada Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) dan antara restoran awal terima pengiktiran itu untuk makanan segera di Malaysia.

“Menerusi Unit Hal Ehwal Halal Dalaman yang dianggotai kakitangan daripada pelbagai jabatan, kita bekerjasama dengan JAKIM untuk pastikan produk segar dihasilkan dengan cara yang bersih dan berkualiti bukan saja di restoran, tetapi juga daripada pembekal ayam dan daging yang diimport,” katanya.


KEBERSIHAN dalam penyediaan makanan jadi keutamaan McDonald’s berikutan tiada kompromi dalam soal kualiti.


Peluang untuk kemajuan kerjaya bagi kakitangan di Malaysia kini terbuka luas dan Azmir secara peribadi mahu kru restoran tidak berputus asa kerana laluan kejayaan sentiasa terbuka buat mereka.

“Saya bermula sebagai pelatih pengurusan dan masih ingat lagi hari pertama saya ditugaskan untuk mencuci peti ais yang suhunya -20 darjah Celsius selama lapan jam. Alhamdulillah saya survive.

“Selepas setahun saya dilantik menjadi pengurus restoran sebelum ditugaskan di pejabat korporat sebagai pegawai hartanah, diikuti pengurus besar dan pengarah urusan,” katanya yang pernah bertugas di China selama enam tahun dan di Dubai setahun untuk menjaga restoran di 18 negara.



News Release